ad
PBT

Pemilik harta mahu MBSJ beri khidmat cemerlang, seiring kadar baharu cukai taksiran

11 Sep 2024, 8:13 AM
Pemilik harta mahu MBSJ beri khidmat cemerlang, seiring kadar baharu cukai taksiran
Pemilik harta mahu MBSJ beri khidmat cemerlang, seiring kadar baharu cukai taksiran

SUBANG JAYA, 11 SEPT: Kebanyakan pemilik harta yang hadir ke sesi pendengaran bantahan kadar baharu cukai taksiran Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) bermula Ogos lalu menyuarakan hasrat pihak berkuasa tempatan itu terus memberi perkhidmatan cemerlang, terbaik.

Timbalan Datuk Bandarnya Mohd Zulkurnain Che Ali berkata pihaknya menerima 10,800 bantahan daripada 326,646 notis senarai nilaian baharu yang dihantar melalui pos kepada pemilik hartanah untuk pemakluman sejak 21 Jun.

“Daripada 10,800 yang membuat bantahan, hanya 47 peratus sahaja hadir ke sesi pendengaran bantahan yang dijalankan bermula 19 Ogos hingga 4 September lalu.

“Mereka menerima kadar baharu itu cuma mahu pentadbiran MBSJ terus menambah baik perkhidmatan terutama aspek infrastruktur membabitkan warga emas,” katanya pada program sekolah rendah karbon generasi bestari (Smart Gen) 2024 di Dewan Serbaguna USJ 7 di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan MBSJ bakal melaksanakan beberapa inisiatif dalam memperkasakan perkhidmatan di kawasan pentadbiran bermula tahun hadapan.

“Antara yang bakal dilaksana mengagihkan tong sampah secara percuma kepada pemilik hartanah sama ada berstrata atau teres dengan memperuntuk RM14 juta.

“Kita akan serahkan tong sampah ini bermula tahun hadapan secara berfasa. Ini sebahagian usaha MBSJ dalam memastikan penduduk terus menjaga alam sekitar dan menguruskan sampah dengan baik,” katanya.

Sebelum ini, MBSJ memaklumkan pihaknya tidak menaikkan cukai taksiran selama 32 tahun sejak 1992 bagi kawasan Subang Jaya dan Bandar Sunway manakala USJ, Puchong, Seri Kembangan dan Serdang selama 28 tahun sejak 1996.

MBSJ turut memaklumkan nilaian baharu cukai taksiran berkuat kuasa 1 Januari 2025.

[caption id="attachment_662804" align="aligncenter" width="1084"] Murid melihat pameran dalam program sekolah rendah karbon generasi bestari (Smart Gen) 2024 di Dewan Serbaguna USJ7, Subang Jaya pada 11 September 2024. Foto ZULFADHLI ZAKI/MEDIASELANGOR[/caption]

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.