PBT

Pameran senjata api, haiwan antara menarik dalam program MBSA Sabtu ini

4 Sep 2024, 9:00 AM
Pameran senjata api, haiwan antara menarik dalam program MBSA Sabtu ini

SHAH ALAM, 4 SEPT: Orang ramai dijemput memeriahkan program Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Anda pada Sabtu ini di Padang Seksyen 16, di sini.

Pengarah korporat dan perhubungan awamnya berkata program bermula jam 8 pagi bertujuan menyebar luas fungsi MBSA dan mengeratkan lagi hubungan bersama komuniti setempat.

"Pelbagai pengisian menarik diadakan sepanjang program antaranya perkongsian maklumat daripada Penganalisis Jenayah Kamal Affendi Hashim serta Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Selangor.

"MBSA turut mengadakan pertandingan karaoke patriotik, hiasan kek, gubahan bunga dan buah serta cabutan bertuah. Orang ramai dijemput hadir memeriahkan program ini," kata Mohd Azhar Mohd Sharif.

Menurutnya, turut diadakan program derma darah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor dan pameran keselamatan daripada jabatan dan agensi seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Pengunjung juga boleh melihat pameran senjata api dan bahaya jenayah narkotik yang dipamerkan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, pameran haiwan liar dan demonstrasi menangkap ular daripada Agensi Pertahanan Awam.