SUBANG JAYA, 30 OGOS : Orang ramai dipelawa memeriahkan konvoi ‘Jiwa Merdeka’ anjuran Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) di pusat membeli-belah Damen Mall, 8 pagi esok.
Datuk Bandarnya Dato’ Amirul Azizan Abd Rahim berkata perarakan kenderaan klasik anjuran bersama Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) itu bermula dari Ibu Pejabat MBSJ dan berakhir di Damen Mall.
“Orang ramai juga berpeluang bertemu dan beramah mesra bersama atlet legenda negara antaranya Dato’ Dollah Saleh, Dato’ Abdul Rashid Mohd Sidek, Dato’ Malek Noor, Datuk Marina Chin dan Dato’ Zaiton Othman,” katanya
Bercakap ketika mempengerusikan mesyuarat penuh bulanan MBSJ di Ibu Pejabat hari ini, Amirul Azizan berkata turut diadakan pertandingan akhir pakaian kostum tradisional melambangkan keunikan budaya Malaysia.
Selain itu, jelasnya pengunjung turut dihiburkan dengan persembahan akhir nyanyian lagu patriotik dari 10 peserta sekolah rendah dan menengah sekitar Subang Jaya pada hari berkenaan.
“Program ini juga dimeriahkan dengan pelbagai persembahan kebudayaan dan patriotik seperti persembahan lagu Merdeka dari Kombo MBSJ, gendang 24 musim dan tarian Sumazau.
“MBSJ menyeru seluruh komuniti Subang Jaya untuk bersama hadir memeriahkan program ini sekali gus menyemarakkan semangat patriotisme Hari Kemerdekaan ke-67,” katanya.


