Oleh Norrasyidah Arashad dan Siti Rohaizah Zainal
SHAH ALAM, 5 JULAI: Wakil rakyat blok kerajaan dan pembangkang mengecam sekeras-kerasnya insiden yang berlaku kepada pemain bola sepak Selangor FC, Muhammad Faisal Abdul Halim pada Mei lalu selain mendesak siasatan dijalankan secara menyeluruh.
Membahaskan usul tergempar itu di sidang Dewan Negeri Selangor, ahli dewan negeri Gombak Setia berkata kejadian simbahan asid itu bukan sekadar jenayah keganasan sebaliknya turut menyentuh isu kemanusian memandangkan dibuat tanpa rasa ihsan dan kemanusiaan.
Jelas Hilman Idham, perkara sedemikian tidak seharusnya berlaku kerana sukan merupakan platform kesatuan dan menyatu-padukan rakyat namun ada yang cuba memecahkannya demi kepentingan sendiri.
“Di dewan mulia ini, kita mendesak polis menjalankan siasatan menyeluruh, tegas dan profesional tanpa sebarang kompromi. Gombak Setia turut mendesak polis memberi maklum balas kepada khalayak umum berhubung status siasatan kes ini,” katanya.
ADN Balakong Ong Chun Wei berkata tragedi malang yang menimpa Muhammad Faisal perlu dijadikan iktibar termasuk meningkatkan perlindungan terhadap atlet dari segala keganasan sama ada secara fizikal atau mental.
“Selama ini sukan memainkan peranan sebagai alat perpaduan. Biarpun berlainan agama, bangsa mahupun fahaman politik. Jadi penting untuk kita memastikan persekitaran sukan negara kita selamat dan adil.
“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana menggerakkan Tabung Solidariti Bersama Selangor FC dan berjaya mengumpul dana hampir RM80,000. Yang membanggakan bukan pada jumlah kutipan tetapi semangat solidariti ditunjukkan rakyat Malaysia,” katanya.
Usul berkenaan yang dibahaskan kira-kira lima wakil rakyat diluluskan selepas ADN Seri Serdang Abbas Azmi membawa usul tergempar mengecam perbuatan ekstrem dan keganasan terhadap Faisal di hadapan Timbalan Speaker DNS Kamri Kamaruddin sebelum sesi membahas Kajian Separuh Penggal RS-1 (KSP RS-1) pagi tadi.
“Saya mengusulkan agar Dewan Negeri Selangor mengecam tindakan yang mengancam keselamatan nyawa dan karier atlet terutama pemain bola sepak. Ini boleh membantutkan usaha negeri bagi melahirkan lebih ramai atlet yang berwibawa di Malaysia,” katanya.
Dalam kejadian 5 Mei lepas, Faisal Halim lebih dikenali sebagai ‘Mickey’ melecur tahap empat di beberapa bahagian badan selepas diserang dengan asid oleh individu tidak dikenali di Kota Damansara, Selangor.
Akibat kejadian itu, Faisal mengalami lecur tahap empat dan kini sedang fokus menjalani rawatan pemulihan tangan kiri secara fisioterapi.
Pada 3 Julai, Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC Dr Johan Kamal Hamidon mengesahkan pemain kebangsaan itu semakin pulih dan dijangka mula melakukan latihan larian minggu depan.


