SHAH ALAM, 8 OKT: Kerajaan Selangor dijangka memuktamadkan kerjasama dengan Ahli Dewan Negeri (ADN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Selangor sebelum pembentangan belanjawan negeri pada November depan.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata rundingan masih berjalan dengan beberapa perkara perlu diperhalusi sebelum persetujuan antara Kerajaan Negeri dan pembangkang dimeterai.
“Belum meterai lagi. Tidak ada yang luar biasalah setakat ini, itu hanya perbincangan dan perbincangan biasalah ada tolak tarik, ada rundingan, ada bincang apa semua, cuma perbincangan belum tamat lagi nanti kita akan maklumkan kalau kedua-dua pihak memeterai persetujuan.
“Setakat yang saya faham mereka ada dalam 11 Ahli Dewan Negeri termasuk seorang lagi 12, Datuk Rashid. Jadi mungkin kalau kesemuanya terlibat Alhamdulillah. Tapi kita tengok keadaanlah sebab benda masih lagi awal untuk kita bincang dan untuk saya maklumkan.
“Kita harapkan sebelum sidang bajet Dewan Negeri tapi kita tengoklah. Kalau semuanya berjalan dengan baik dan mampu untuk dimeterai, kita meterai,” katanya ditemui selepas merasmikan Program Jelajah Sejahtera Madani-Skim Insurans Kesejahteraan Rakyat (SIKR) 3.0 di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Amirudin menjelaskan, Kerajaan Negeri mengambil kira pengalaman perjanjian kerjasama (CSA) di peringkat Persekutuan sebelum ini dalam usaha membentuk kerjasama dengan pembangkang di Selangor.
“Dia macam perjanjian CSA ketika parlimen yang lepas kita ambil pengalaman dan kita ambil itibar daripada pengalaman CSA di antara HARAPAN bersama dengan Datuk Seri Ismail Sabri,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan, ADN Selangor dari Bersatu dijangka mengadakan pertemuan dengan Kerajaan Negeri dalam masa terdekat bagi menandatangani perjanjian kerjasama.
Sumber dalam parti itu mendedahkan, kerjasama tersebut melibatkan keseluruhan 11 ADN daripada parti berkenaan yang selepas ini akan dianggap sebagai penyokong Kerajaan Negeri.







