PUTRAJAYA, 13 OKT: Jumlah kes demam denggi meningkat 5.9 peratus kepada 2,436 kes pada Minggu Epidemiologi ke-40 (ME40), iaitu bagi tempoh 1 hingga 7 Okt berbanding 2,299 kes pada minggu sebelumnya.
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan dalam kenyataan berkata dua kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan pada ME40.
Beliau berkata bilangan lokaliti hotspot pada ME40 meningkat kepada 70 lokaliti berbanding 60 lokaliti hotspot pada minggu sebelumnya.
Ia melibatkan 52 lokaliti di Selangor, sembilan lokaliti di Kuala Lumpur dan Putrajaya serta masing-masing satu di Perlis, Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan, Johor, Pahang, Kelantan, Sarawak dan Sabah.
Bagi jumlah kematian akibat komplikasi demam denggi tahun ini sehingga minggu pertama Okt, Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata sejumlah 67 kematian telah dilaporkan berbanding 28 kematian bagi tempoh yang sama pada tahun 2022.
Sementara itu, beliau berkata bagi survelan chikungunya, tiada kes direkodkan pada ME40 dengan jumlah kumulatif kes hingga kini adalah 175 kes.
“Bagi survelan zika, 2,646 sampel darah dan 256 sampel urin telah dijalankan saringan dan hasil kesemuanya adalah negatif,” katanya.
-BERNAMA


