HULU LANGAT, 25 OGOS: Lebih 10,000 pengunjung dijangka memeriahkan program Sate dan Kopi Secocok Bersama di Dataran MPKj@Stadium Kajang bermula esok hingga Ahad.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) Najmuddin Jemain berkata pelbagai program dirangka termasuk pengisian berkait Bulan Kemerdekaan seperti wayang pacak filem patriotik.
“Kita menyediakan perkampungan sate yang disertai 14 pengusaha selain 22 vendor kopi tempatan.
“Harga sate juga diseragamkan bagi setiap gerai, jadi semua gerai akan jual harga sama. Contohnya RM1.20 untuk sate ayam selain menu kombo merangkumi pelbagai jenis sate,” katanya ketika mempengerusi Mesyuarat Majlis Bil.8/2023 MPKj
Najmuddin menjelaskan pengisian lain termasuk konvoi motosikal selain pemberian 3,000 cucuk sate percuma untuk pengunjung terhad pada waktu ditetapkan selain sukan rakyat.
MPKj sebelum ini memaklumkan bertemakan konsep tradisional, program bermula jam 10 pagi turut dimeriahkan dengan persembahan kesenian selain nyanyian artis tanah air oleh kumpulan Rosewood, Skudap Skudip dan DJ Sir Birdo.
Pengunjung boleh menggunakan perkhidmatan transit aliran massa (MRT) untuk ke destinasi program.