ADN

Nash bantu kempen calon Batang Kali, sifatkan Mohd Isa sentiasa merendah diri

8 Ogos 2023, 2:59 PM
Nash bantu kempen calon Batang Kali, sifatkan Mohd Isa sentiasa merendah diri
Nash bantu kempen calon Batang Kali, sifatkan Mohd Isa sentiasa merendah diri

SHAH ALAM, 8 OGOS: Penyanyi terkenal tanah air  Nash membantu calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Kali berkempen pada pilihan raya negeri (PRN) kali ini.

Nash atau nama sebenarnya Nashrudin Elias berkata beliau sudah lama bersahabat dengan Datuk Mohd Isa Abu Kasim dan menjadi tanggungjawab untuk turun berkempen bersama.

"Saya kenal beliau (Mohd Isa) bukan baru ini sahaja. Pertama (sebab ikut berkempen) saya merasakan ia tanggungjawab kepada seorang sahabat dan tanggungjawab buat beliau yang ada jiwa seorang pemimpin.

"Kalau kita imbas kembali penglibatan Mohd Isa kepada rakyat setempat, memang dari dulu hingga kini beliau tidak pernah tarik diri, tidak pernah sembunyi atau menimbulkan sebarang syak wasangka.

"Beliau sangat merendah diri, ada jiwa kepada masyarakat, terjemahan kasih sayangnya kepada penduduk nampak jelas. Rakyat di sini patut memilih Datuk Mohd Isa kerana saya rasa ini merupakan plihan sangat tepat," kata vokalis Lefthanded itu menerusi video di  YouTube SelangorTV.

Mengulas berhubung kerajaan perpaduan, Nash memuji kehebatan pemimpin yang ada dalam pembentukan itu yang disifatkan bersungguh-sungguh meski baharu lapan bulan mentadbir.

"Setiap daripada pemimpin dalam kerajaan perpaduan ini jelas terpancar keikhlasan dalam diri mereka dan tidak seperti pembangkang.

"Yang penting mereka sentiasa ke hadapan dan memberi khidmat dengan baik sebagai seorang pemimpin mahupun menteri," katanya.

Mohd Isa merupakan mantan Ahli Dewan Negeri (ADN) Batang Kali pada 2013 dan kini kembali bertanding bagi merebut kerusi itu mewakili Pakatan Harapan (HARAPAN).

Kerusi DUN Batang Kali sebelum ini pernah diisytiharkan kosong berikutan penyandangnya, Harumaini Omar gagal hadir tanpa kebenaran semasa persidangan dewan DUN Selangor melebihi enam bulan sejak 28 Julai tahun lalu.

[caption id="attachment_597002" align="alignnone" width="700"] Nash menemani calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Kali Datuk Mohd Isa Abu Kasim menziarahi pesakit pada pada 7 Ogos 2023. Foto Facebook Mohd Isa Abu Kasim[/caption]