OLEH FHATIHAH ZAKINAN
SHAH ALAM, 19 JULAI: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) melaksanakan penjualan buku elektronik, e-Book Rancangan Tempatan 2035 (Penggantian) menerusi aplikasi MyMBSA pada harga RM100 seunit.
Bahagian korporat dan perhubungan awamnya berkata inisiatif itu dilaksanakan bagi memudahkan orang ramai mengakses informasi Rancangan Tempatan 2035 (Penggantian) di mana-mana sahaja.
"Penjualan e-Book Rancangan Tempatan 2035 (Penggantian) ini adalah inisiatif MBSA untuk memudahkan orang ramai mendapatkan buku berkenaan tanpa perlu hadir ke Wisma MBSA untuk membuat pembelian.
"Orang ramai hanya perlu mendaftar akaun atau log masuk di aplikasi MyMBSA dan klik di ikon ‘myShop’ bagi membuat pembelian," kata pihak majlis berkuasa tempatan (PBT) itu.
Buku elektronik itu mengandungi dua bahagian merangkumi Bahagian 1 (Hala Tuju Pembangunan Shah Alam, Peta Cadangan) dan Bahagian 2 (Garis Panduan Pembangunan).
Sebarang pertanyaan lanjut, boleh menghubungi Jabatan Perancangan MBSA di talian 03-55222748 atau emel ke perancang@mbsa.gov.my.


