PBT

Program Hari Tanpa Kenderaan MBSJ kembali dianjur mulai 9 Julai

16 Jun 2023, 11:27 PM
Program Hari Tanpa Kenderaan MBSJ kembali dianjur mulai 9 Julai

SUBANG JAYA, 17 JUN: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) kembali menganjurkan program hari tanpa kenderaan dikenali Selamat Pagi Subang Jaya yang kini dijenamakan semula sebagai program Hari Tanpa Kenderaan (HTK), kata Dato Bandarnya.

Mohd Fauzi Yatim memaklumkan program dijalankan pada hari Ahad minggu kedua secara bulanan akan mula diadakan pada 9 Julai ini di Jalan SS 16/1 berhadapan Aeon Big Subang Jaya dan Subang Parade bermula jam 7 hingga 11 pagi.

“Saya mengharapkan penglibatan yang lebih dari komuniti untuk menyertai program HTK ini supaya mesej yang dibawa dapat sampai kepada mereka.

“Matlamat utama kami juga ialah supaya bukan sahaja dapat menjalani kehidupan pada hari program ini tanpa kenderaan malah melaksanakan riadah bersama keluarga melalui aktiviti yang kami sediakan di hujung minggu,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat MBSJ di sini semalam.

Beliau berkata pelbagai aktiviti komuniti sihat, menarik dan mencabat akan diadakan seperti Kejohanan Berbaikal Endurance Challenge, Kejohanan Run Bike Subang Jaya, pertandingan street soccer, senamrobik dan pelbagai lagi.

“Turut diadakan pameran keselamatan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya dan pameran cari musnah Aedes oleh Jabatan Kesihatan MBSJ.

“Semua warga Subang Jaya mahupun kawasan sekitar dijemput hadir untuk menyertai dan memeriahkan program ini,” katanya.