PBT

MBSA anjur bazar pagi setiap Ahad, bantu peniaga jana pendapatan

20 Jun 2022, 6:24 AM
MBSA anjur bazar pagi setiap Ahad, bantu peniaga jana pendapatan

SHAH ALAM, 20 JUN: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menganjurkan Bazar Pagi @27 Shah Alam setiap Ahad bermula jam 7 pagi hingga 12 tengah hari.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya berkata pasar yang bertempat di Jalan Bukit Raya 27/8, Seksyen 27 di sini memberikan peluang kepada peniaga untuk menjana pendapatan.

"Bazar Pagi @27 Shah Alam ini menempatkan sebanyak 80 lot perniagaan yang menjual makanan dan minuman, bahan kering serta bahan mentah atau basah.

"Ia memberikan peluang perniagaan kepada peniaga daripada penduduk setempat serta sekitar Selangor," kata Shahrin Ahmad menerusi kenyataan.

Majlis perasmian pasar berkenaan disempurnakan oleh Ahli Majlis MBSA V Papparaidu merangkap pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Zon 14 Shah Alam.

Menurutnya lagi pasar itu menyediakan kemudahan transaksi tanpa tunai yang menjimatkan masa pembeli selain memudahkan peniaga mengenal pasti aliran wang keluar masuk serta menjimatkan masa mengira kutipan harian.