SELANGOR

Kadar kesuburan rendah jejas sektor guna tenaga

12 Sep 2018, 3:50 AM
Kadar kesuburan rendah jejas sektor guna tenaga

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 12 SEPT: Selangor dijangka berdepan risiko kekurangan tenaga kerja muda dalam tempoh 10 hingga ke 15 tahun akan datang ekoran purata kelahiran rendah.

Dato' Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, negeri itu sedang menghadapi trend kadar kesuburan rendah, iaitu pada kadar 1.7 sahaja.

"Jika masalah ini tidak diatasi segera, kita bimbang dalam satu tempoh masa akan berlaku risiko generasi warga emas semakin panjang usianya bertambah ramai, sementara warga muda aktif bekerja akan berkurangan.

"Sudah tentu ketidakseimbangan populasi ini akan memberi kesan kepada guna tenaga di Selangor, kita bimbang akan wujudnya kelompok kecil yang aktif bekerja akan menanggung warga emas pada masa itu," katanya kepada media.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Nikah Perdana Masjid Al-Khairiyah 2018, di Taman Seri Gombak, semalam.

Amirudin berkata, beliau menyambut baik inisiatif perkahwinan beramai-ramai yang dianjurkan masjid, sejak tahun 2012.

"Kita berharap melalui langkah ini, ia akan membantu menambahkan generasi masa depan, sekali gus menangani masalah kes kesuburan yang rendah," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.