ad
AGENDA

MB: Kebajikan, kesejahteraan rakyat negeri terus jadi keutamaan

1 Jan 2024, 12:30 PM
MB: Kebajikan, kesejahteraan rakyat negeri terus jadi keutamaan
MB: Kebajikan, kesejahteraan rakyat negeri terus jadi keutamaan
MB: Kebajikan, kesejahteraan rakyat negeri terus jadi keutamaan

SELAYANG, 1 JAN: Dato’ Menteri Besar memberi jaminan kesejahteraan dan kebajikan rakyat berbilang kaum dan agama di negeri ini akan terus menjadi keutamaan pentadbirannya.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata keprihatinan Kerajaan Negeri tidak memilih kaum dan agama malah bersifat menyeluruh menerusi pelbagai bantuan yang disalurkan termasuklah peruntukan untuk rumah ibadat dan sekolah pelbagai aliran.

[caption id="attachment_621403" align="alignleft" width="500"] Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari hadir pada Majlis Penyerahan Hamper Sempena Tahun Baru 2024 di Sri Ramar Temple Alayam, Selayang, Gombak pada 1 Januari 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI[/caption]

“Kita juga adalah negeri yang menyediakan tapak rumah ibadat yang digazetkan bermakna rumah ibadat ini tidak perlu bayar premium sebagaimana yang berlaku suatu ketika dulu premiumnya sangat tinggi dan menyebabkan rumah ibadat tidak dapat didirikan.

“Kenapa buat begini? Sebab kita percaya kepada (prinsip) Rukun Negara iaitu Kepercayaan Kepada Tuhan dan menjadi salah satu tanggungjawab kerajaan pastikan rumah ibadah (termasuk) masjid, kuil, tokong dan gereja dapat dipelihara dan dijaga.

“Kerajaan Negeri akan terus bekerja melaksanakan tanggungjawab memastikan kesejahteraan, keamanan dan kestabilan hidup semua rakyat yang tinggal di negeri ini,” katanya.

Berucap pada majlis sempena sambutan tahun baharu di Kuil Sri Ramar Alayam Selayang Baru di sini, beliau berkata justeru rakyat pelbagai kaum perlu sentiasa menghormati anutan agama lain demi kesejahteraan dan kehidupan yang harmoni.

[caption id="attachment_621405" align="alignright" width="500"] Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari hadir berucap pada Majlis Penyerahan Hamper Sempena Tahun Baru 2024 di Sri Ramar Temple Alayam, Selayang, Gombak pada 1 Januari 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI[/caption]

“Pelihara rasa hormat dan persefahaman kita terhadap agama lain. Hal ini harus kita pertahankan kerana semakin hari saya lihat perlahan-lahan ada orang cuba mengapi-apikan perbezaan ini.

“Kata-kata cacian dan makian tidak menguntungkan kerana kita faham dan hormat pelbagai kelompok yang ada. Inilah yang ingin kita pertahankan di Malaysia sekian lama (dan diterjemahkan dengan pembentukan) Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Terdahulu pada majlis sama Amirudin menyampaikan sumbangan hamper barangan makanan kepada 15 pelajar cemerlang masyarakat India sekitar Selayang Baru.

Sementara itu, Ahli Lembaga Pemegang Amanah Kuil Kuil Sri Ramar Alayam M Pushpagaran berkata peruntukan RM100,000 disalurkan Kerajaan Negeri tahun lalu digunakan untuk pembinaan dewan serbaguna untuk pelbagai aktiviti termasuk kemasyarakatan dan pendidikan.

Penerima, Nikos Rao, 17, berkata hamper yang diterima atas pencapaian cemerlang di sekolah membakar semangatnya untuk terus berusaha mencapai keputusan terbaik dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) nanti.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.