PBT

Mohon permit bazar Ramadan dalam talian

23 Apr 2018, 6:33 AM
Mohon permit bazar Ramadan dalam talian
Mohon permit bazar Ramadan dalam talian

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 23 APR: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) julung kalinya memperkenalkan aplikasi dalam talian bagi permohonan permit bazar Ramadan.

Datuk Bandar Shah Alam, Dato' Ahmad Zaharin Mohd Saad berkata, aplikasi itu bagi memastikan pengurusan permit bazar lebih efisien dan telus kepada penjaja.

Katanya, sistem yang dikenali sebagai e-bazar itu memerlukan peniaga memuat naik dokumen diperlukan semasa membuat permohonan.

"MBSA menyahut seruan Kerajaan Negeri ke arah 'Smart State' untuk memudahkan orang ramai berbanding menggunakan masa dan tenaga ke sini.

"Selain e-bazar, MBSA sudah mewujudkan sistem 'flexi parking' dan i-adu, selaras kemajuan teknologi serta kemudahan kepada masyarakat Shah Alam," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Taklimat dan Penyerahan Permit Penjaja Bazar Ramadan MBSA 2018.

Dalam majlis itu, MBSA mengeluarkan 1,971 permit kepada peniaga bazar Ramadan, antaranya dari Seksyen 6, 7, 16, 17, 18, U2, U3, U5 dan U8.

Pada masa sama, Ahmad Zaharin turut mengingatkan peniaga supaya tidak menggunakan bekas polisterina dan mengurangkan penggunaan beg plastik.

Katanya, bagi memastikan arahan itu dipatuhi, Jabatan Perlesenan dan Kesihatan MBSA akan membuat pemantauan mengejut, di semua bazar Ramadan.

"Pemantauan ini juga meliputi aspek kebersihan bagi memastikan keselesaan, keselamatan dan kesihatan pengunjung bazar Ramadan, pada tahun ini.

"MBSA mengingatkan peniaga mematuhi syarat ditetapkan termasuk pemakaian apron, topi dan kasut bertutup, menghadiri kursus pengendalian makanan serta menyediakan tong sampah individu di lot masing-masing.

"Amaran dan tindakan termasuk menarik semula permit boleh dikenakan kepada penjaja yang melakukan kesalahan dan gagal mematuhi syarat ditetapkan MBSA," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.