SK Kantan Permai juara Piala Raja Muda Selangor

29 Nov 2026, 2:09 PM
SK Kantan Permai juara Piala Raja Muda Selangor
SK Kantan Permai juara Piala Raja Muda Selangor

KLANG, 29 NOV: Sekolah Kebangsaan (SK) Kantan Permai melakar sejarah tersendiri apabila muncul juara Kejohanan Bola Sepak Piala Raja Muda Selangor edisi ke-39, selain menyapu bersih kesemua anugerah kategori terbaik pada aksi final di Stadium Kota Raja, di sini hari ini.

Kemenangan bergaya menerusi aksi sepakan penalti 5-4 itu melayakkan skuad daripada Kajang itu membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 serta pingat tajaan Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (KPS).

Naib johan menjadi milik SK Kota Kemuning yang meraih RM4,000 dan pingat.

Pengendali Pasukan SK Kantan Permai, Razis Radzuan berkata kejayaan tersebut merupakan detik paling manis memandangkan penyertaan tahun ini merupakan penampilan sulung sekolah itu dalam kejohanan berprestij berkenaan sejak ditubuhkan pada 2001.

“Ini adalah kali pertama kami menyertai kejohanan ini dan ia menjadi satu sejarah yang amat membanggakan saya serta seluruh warga sekolah. Pemain berlatih bersungguh-sungguh dan berjuang dengan semangat berpasukan yang tinggi sehingga berjaya bergelar juara," katanya ditemui selepas perlawanan akhir di sini, hari ini.

Terdahulu, pasukan SK Kantan Permai turut membuktikan keupayaan tersendiri apabila membolot Anugerah Pemain Terbaik, Penjaga Gol Terbaik, Penjaring Terbanyak menerusi ledakan lapan gol serta Kumpulan Sorak Terbaik.

Turut hadir menyaksikan perlawanan akhir, Datuk Bandar Klang Dato' Abd Hamid Hussain serta Pengerusi Jawatankuasa Penganjur kejohanan Datuk Emran Kadir.

Mengulas lanjut perjalanan pasukannya, Razis berkata persiapan skuad kendaliannya terhalang oleh masalah jerebu dan jadual aktiviti sekolah pada penghujung tahun, namun komitmen tinggi pemain serta ibu bapa menjadi kunci kejayaan mereka.

“Selepas jerebu reda, kami hanya sempat menjalani latihan pusat selama dua minggu. Namun semangat ibu bapa dan pemain sangat luar biasa apabila mereka tetap berlatih siang dan petang termasuk dalam keadaan hujan dan padang berlopak sehingga membuahkan hasil cemerlang hari ini," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memuji semangat juang dipamerkan SK Kota Kemuning yang disifatkannya sebagai pencabar terkuat selepas kedua-dua pasukan turut diundi dalam Kumpulan D pada peringkat awal kejohanan.

Bagi menghadapi saingan tahun hadapan, Razis memaklumkan pihaknya sudah merangka perancangan awal melibatkan barisan pemain berusia 11 tahun yang akan kekal dalam skuad bagi mempertahankan kejuaraan tersebut.

Sementara itu, Emran berkata piala pusingan yang digunakan pada edisi kali ini akan disimpan di Galeri Bola Sepak Selangor di Istana Alam Shah, Klang, manakala piala baharu akan diperkenalkan bagi edisi ke-40 tahun hadapan atas titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

“Duli Yang Maha Mulia Tuanku telah menitahkan saya dalam perjumpaan menghadap baru-baru ini supaya piala ini diganti dengan piala baharu bagi edisi ke-40 tahun hadapan. Piala sedia ada ini pula akan disimpan di Galeri Bola Sepak Selangor untuk tatapan umum," katanya.

Mengenai perjalanan penganjuran, beliau mengakui kejohanan tahun ini berlangsung sedikit lewat daripada jadual asal berikutan faktor jerebu atas titah Sultan Selangor yang mengutamakan keselamatan serta kesihatan pelajar.

Emran berkata kejohanan melibatkan penyertaan sekolah kerajaan, sekolah swasta serta sekolah di bawah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) itu akan diteruskan pada tahun hadapan bagi mencungkil lebih ramai bakat baharu bola sepak negara.

Kejohanan Bola Sepak Piala Raja Muda Selangor edisi ke-39 pada mulanya dijadualkan pada 30 Oktober lalu namun terpaksa dianjakkan atas titah Sultan Selangor supaya tidak merisikokan pelajar dengan fenomena jerebu yang melanda negara ketika itu.

Kategorisukankini

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.