Paip pecah di Taman Cheras Mas, Air Selangor jalankan penilaian lanjut

24 Mac 2026, 4:31 AM
Paip pecah di Taman Cheras Mas, Air Selangor jalankan penilaian lanjut

SHAH ALAM, 24 MAC: Insiden paip pecah di Jalan Mas 1, Taman Cheras Mas pada 2 Januari lalu masih dalam siasatan dan penilaian lanjut Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) bersama pihak berkaitan.

Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor, Adam Saffian Ghazali berkata pihaknya menerima aduan berhubung kejadian itu melibatkan paip asbestos simen (AC) berdiameter 150 milimeter yang terletak di hadapan premis kediaman.

Menurut beliau, sejurus aduan diterima, Air Selangor segera menggerakkan pasukan teknikal ke lokasi dan kerja pembaikan dimulakan pada hari yang sama.

“Bahagian paip yang rosak kemudiannya diganti, dan kerja-kerja pembaikan telah siap sepenuhnya pada 3 Januari sekitar jam 1.40 tengah hari,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, Air Selangor kini bekerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan termasuk pelaras insurans bagi meneliti kes tersebut secara menyeluruh.

Tambahnya, pihaknya juga sentiasa berhubung dengan pemilik rumah terlibat bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung siasatan yang sedang dijalankan.

“Air Selangor kekal komited untuk memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkaitan bagi memastikan perkara ini ditangani dengan sewajarnya,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan, penduduk di kawasan berkenaan meluahkan kebimbangan susulan kejadian paip pecah yang didakwa memberi kesan kepada struktur rumah, termasuk retakan pada lantai dan dinding kediaman mereka.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.