SHAH ALAM, 28 NOV: Ahli Dewan Negeri (ADN) Lembah Jaya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Al-Hadad atau lebih dikenali Altimet, membuat laporan polis bagi menggesa siasatan dijalankan berhubung dakwaan pemilik hartanah di kawasannya menyewakan premis kediaman dan perniagaan kepada warga asing tanpa dokumen sah.
Altimet berkata, laporan itu dibuat susulan pelbagai aduan penduduk berhubung kehadiran warga asing yang disyaki tidak memiliki dokumen imigresen yang sah atau memegang kad Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) yang tidak sah.
Beliau membuat laporan itu di Balai Polis Ampang di sini, pada jam 3.17 petang semalam.
Menurutnya, hasil pemantauan dijalankan susulan aduan penduduk mengenal pasti beberapa premis kediaman dan perniagaan yang disewakan kepada golongan berkenaan.
"Kami mengesyaki beberapa pemilik hartanah di kawasan kejiranan ini menyewakan premis atau rumah kepada warga asing tanpa dokumen sah atau pemegang kad UNHCR yang tidak sah.
"Kami berharap pihak berkuasa akan menjalankan siasatan. Buat masa ini, kami tidak menuduh mana-mana pihak kerana ini hanyalah syak wasangka.
"Kami serahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya," katanya, lapor New Straits Times.
Altimet memaklumkan perkara itu berkemungkinan membabitkan kesalahan mengikut Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63, yang memperuntukkan hukuman terhadap penghuni atau pemilik yang membenarkan pendatang asing tanpa izin masuk atau berada di dalam premis mereka.
Beliau berkata inisiatif yang turut membabitkan ahli majlis tempatan, ketua kampung, jawatankuasa rukun tetangga dan persatuan penduduk itu bertujuan menyokong usaha penguatkuasaan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya.
Tambahnya, beliau sering menerima aduan penduduk setempat menerusi aplikasi WhatsApp, media sosial serta kunjungan ke pusat khidmatnya.
Altimet turut mendakwa perniagaan yang dijalankan oleh warga asing tanpa dokumen sah itu juga boleh menjejaskan mata pencarian peniaga tempatan.
Berdasarkan salinan laporan polis diadukan penduduk, lokasi berkenaan membabitkan Tasik Tambahan 2 dan 3, Taman Sri Raya, Taman Sri Bayu, serta Kampung Ampang Campuran.
Laporan itu menyenaraikan 19 premis kediaman merangkumi 16 premis di Taman Sri Raya dan tiga lagi di Taman Tasik, selain beberapa premis perniagaan di Tasik Tambahan yang didakwa dihuni oleh warga asing.






