AMPANG JAYA, 23 JUN: Sejumlah 1,438 peniaga yang menyewa premis dan kemudahan milik Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) bakal menikmati pengurangan kadar sewa 30 peratus selama enam bulan dari Julai hingga Disember 2026 menerusi Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa 2.
Timbalan Yang Dipertuanya Ts Hasrolnizam Shaari berkata MPAJ bersedia menanggung pengurangan hasil kira-kira RM105,000 sebulan daripada kutipan sewaan bulanan berjumlah RM351,000 sebelum ini, demi membantu meringankan beban peniaga serta merancakkan aktiviti ekonomi setempat.
“Kita sudah buat semakan awal, di MPAJ kita ada 1,438 premis atau kemudahan yang digunakan peniaga, yang mana jumlah sewaan sebulan kalau kita dapat kutip berjumlah RM351,000.
“Jadi dengan pengumuman itu kita akan beri pengurangan berjumlah RM105,000, untuk enam bulan sekitar RM600,000. Kami amat berbesar hati dengan insiatif ini, semoga ia akan bantu peniaga lebih aktif, berdaya saing dan akhirnya beri perkhidmatan terbaik kepada masyarakat,” katanya.

Beliau ditemui selepas majlis perasmian Konvensyen Pendidikan Ampang Jaya yang disempurnakan Setiausa Politik Menteri Pendidikan, Rozzana Zainal Abidin di Pusat Konvensyen MPAJ hari ini.
Hasrolnizam berkata walaupun menerusi langkah itu pihaknya kehilangan hasil kira-kira RM600,000 bagi tempoh enam bulan, manfaat jangka panjang kepada komuniti dan ekonomi setempat jauh lebih besar.
“MPAJ melihat daripada sudut holistik, mungkin kehilangan RM600,000 tetapi pembangunan masyarakat dan komuniti peniaga mikro yang lebih kukuh akan memberi manfaat kepada semua pihak.
“Daripada sudut kerjasama dan pembangunan masyarakat, apabila komuniti dan peniaga mikro bergerak baik, ia akan bantu majlis dalam sudut lain. Antaranya keharmonian, kesejahteraan dan memudahkan urus tadbir majlis.
“Apabila peniaga berkembang dan urus tadbir menjadi lebih lancar, ia turut membantu mengurangkan keperluan penguatkuasaan serta memudahkan proses pemantauan,” katanya.
Pada 19 Jun lalu, Dato' Menteri Besar mengumumkan Kerajaan Negeri menawarkan pengurangan kadar sewa premis pihak berkuasa tempatan (PBT) 30 peratus selama enam bulan, bermula Julai hingga Disember 2026, bagi membantu peniaga menghadapi kesan krisis bekalan dan tenaga global.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif di bawah Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa 2 itu melibatkan semua 12 PBT di negeri itu dan dijangka memanfaatkan 21,234 peniaga.
Menurut Amirudin, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM4.5 juta bagi menjayakan bantuan berkenaan yang akan diberikan secara automatik tanpa memerlukan sebarang permohonan daripada peniaga.
Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor yang dibentangkan Amirudin pada Mesyuarat Khas Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor, diperkenalkan sebagai tindak balas Kerajaan Negeri terhadap krisis tenaga dan bekalan global yang tercetus susulan konflik di Asia Barat.
Menerusi pakej tersebut, Kerajaan Negeri melaksanakan beberapa langkah intervensi bagi membantu rakyat dan sektor perniagaan menghadapi cabaran kenaikan kos yang berpunca daripada gangguan rantaian bekalan serta ketidaktentuan pasaran tenaga dunia.











