SHAH ALAM, 2 JUN: Cadangan pembinaan perumahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Taman Bukit Indah, Ampang perlu mengambil kira kapasiti infrastruktur sedia ada serta pandangan penduduk bagi memastikan pembangunan dilaksanakan secara mampan dan seimbang.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Lembah Jaya Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad berkata beliau mengakui keperluan menyediakan perumahan yang selesa dan bermaruah kepada anggota PDRM, khususnya yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya.
"Pandangan saya mengenai keperluan perumahan bermaruah untuk anggota PDRM khususnya yang bertugas di IPD Ampang Jaya adalah sama seperti penduduk Taman Bukit Indah, ia sememangnya diperlukan.
"Namun persoalan yang dibangkitkan penduduk adalah berkaitan lokasi projek yang dicadangkan di tengah kawasan perumahan sedia ada," katanya kepada Media Selangor.
Menurut beliau, tapak yang dicadangkan terletak dalam kawasan perumahan padat dan dijangka meningkatkan jumlah penduduk, sekali gus memberi tekanan kepada kemudahan awam serta infrastruktur sedia ada.
Katanya, antara kebimbangan utama penduduk ialah kapasiti jalan raya dan kemudahan awam termasuk sekolah yang kini menampung jumlah pengguna yang tinggi.
"Jalan akses ke Taman Bukit Indah dikongsi dengan beberapa kawasan berhampiran seperti Taman Kosas, Rasmi Jaya dan Ampang Indah. Selain itu terdapat empat sekolah di kawasan sekitar yang masing-masing mempunyai lebih 1,400 pelajar.
"Keadaan ini menimbulkan kebimbangan pertambahan penduduk akan memberi tekanan tambahan kepada kemudahan awam sedia ada," ujarnya.

Beliau turut memaklumkan sebahagian kawasan yang dikaitkan dengan cadangan pembangunan itu kini digunakan masyarakat setempat sebagai kawasan rekreasi dan ruang komuniti.
"Sebahagian daripada tapak pembangunan ini turut dikaitkan dengan kawasan rekreasi masyarakat setempat yang dikenali sebagai Taman Botani.
"Kawasan ini dianggap sebagai ‘green lung’ dan menjadi antara asas pembentukan komuniti Taman Bukit Indah," tambahnya.
Dalam pada itu, Syed Ahmad menjelaskan cadangan pembangunan berkenaan masih belum menerima Kebenaran Merancang (KM) daripada Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan proses mendapatkan pandangan awam masih berjalan.
"Kebenaran Merancang masih belum diberikan dan tempoh enam bulan diperuntukkan bagi membolehkan penduduk mengemukakan pandangan serta bantahan.
"Penyertaan awam dalam proses ini bukan sahaja hak penduduk, malah merupakan sebahagian daripada prosedur yang ditetapkan dalam proses pembangunan," katanya.
Beliau berkata pejabatnya bersama ketua komuniti sedang mengumpul maklum balas penduduk bagi memastikan pandangan masyarakat setempat dapat disalurkan melalui saluran yang sewajarnya.
Menurutnya, perkara itu turut akan dibangkitkan dalam Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) akan datang bagi memastikan suara dan kebimbangan penduduk Taman Bukit Indah serta kawasan sekitar mendapat perhatian sewajarnya.
Untuk rekod, Taman Bukit Indah dibangunkan oleh SP Setia melalui Kemajuan Bukit Jerai sekitar 1990-an hingga awal 2000-an berdasarkan pelan induk yang merangkumi pembangunan perumahan, komersial serta pelbagai kemudahan awam termasuk sekolah, masjid dan kemudahan PDRM.








