SHAH ALAM, 27 NOV: Kerajaan Negeri terus memperluas program keagamaan dan kerohanian bagi melahirkan generasi muda yang bukan sahaja cemerlang dalam pelajaran, tetapi juga memiliki akhlak baik dan sifat ihsan.
Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pendidikan anak-anak tidak boleh tertumpu kepada pencapaian akademik semata-mata, sebaliknya perlu memberi perhatian kepada perkembangan fizikal, mental dan rohani.
Menurutnya, walaupun Selangor mempunyai ekonomi yang kukuh, kekuatan sebenar negeri terletak pada rakyat yang berilmu dan berakhlak.
“Kita tidak boleh bergantung semata-mata kepada kelebihan lokasi, kemudahan logistik dan faktor lain.
“Kekuatan kita terletak pada modal insan. Anak-anak perlu dididik supaya seimbang dari segi fizikal, mental dan rohani,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Bantuan Sekolah Selangor di Hotel Mardhiyyah, di sini, hari ini.
Amirudin berkata Kerajaan Negeri turut membantu usaha Kerajaan Persekutuan dalam meningkatkan mutu pendidikan melalui pelbagai program.
Antaranya Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS), bantuan menaik taraf kemudahan sekolah, program pemakanan NutriSel dan latihan guru.
Selain itu, hampir 200 pelajar sekolah tahfiz dibantu setiap tahun untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menerusi kerjasama dengan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Selangor (ITAS).
Dalam usaha memperkukuh pendidikan agama, beliau berkata Kerajaan Negeri turut menganjurkan program seperti Festival Turath Islami yang membawa ulama dari Maghribi, Indonesia, Thailand dan Mesir ke Selangor.
Katanya, program keagamaan termasuk majlis selawat juga digalakkan bagi membentuk masyarakat yang mengamalkan nilai ihsan, saling menyayangi dan suka membantu orang lain.
“Orang yang memiliki sifat ihsan bukan hanya berbuat baik sekali-sekala, tetapi suka melakukan kebaikan secara berterusan dengan penuh keikhlasan dan kasih sayang,” katanya.
Amirudin berharap nilai itu dapat dipupuk sejak di bangku sekolah supaya menjadi amalan dalam kehidupan masyarakat dan generasi akan datang.







