Ketika kebanyakan bakal mempelai sibuk membilang senarai tetamu, lokasi acara dan pelbagai persiapan lain, Syahira Norliana Radin Mohamad lebih memikirkan satu hal yang lebih penting: Bagaimana kehidupan selepas majlis perkahwinan berakhir?
Persoalan itu mendorong wanita berusia 29 tahun itu memilih majlis akad nikah secara ringkas. Hanya 50 tetamu diundang. Lebihan kewangan digunakan untuk keperluan kehidupan bersama suami.
“Saya lebih pentingkan kehidupan selepas kahwin kerana bagi saya, perbelanjaan yang berlebihan untuk majlis boleh digunakan untuk kelengkapan dan meningkatkan keselesaan rumah untuk kehidupan kami sebagai suami isteri.
“Saya juga mahu membuat persiapan awal jika berlaku perkara tidak dijangka selepas berkahwin, contohnya mengandung. Jadi, saya rasa lebih baik kami bersedia dari awal,” katanya.
Tindakan itu berdasarkan keperluan dan kemampuan mereka, bukan semata-mata mengikut gaya atau pasangan lain meski keputusan mereka belum tentu diterima pihak lain.
Beliau mengakui ibunya mengharapkan majlis keraian diadakan dengan meriah termasuk kehadiran ramai saudara-mara dan rakan taulan.
Namun, Syahira Norliana menerangkan perancangan dan keutamaan mereka selepas berkahwin, khususnya menguruskan perbelanjaan dan keperluan kehidupan berumah tangga.
“Awalnya memang mak menentang sebab dia mahu buat majlis lebih besar. Jadi, saya cuba terangkan kepada keluarga kenapa saya pilih konsep ini dan apa yang saya utamakan selepas berkahwin.
“Selepas mereka faham perancangan saya, mereka mula menerima keputusan tersebut. Alhamdulillah, ahli keluarga lain turut menerima pilihan ini dengan hati terbuka,” katanya.
Persiapan majlis dibuat beberapa bulan lebih awal, termasuk pengesahan kehadiran tetamu kira-kira empat bulan sebelum tarikh akad bagi memastikan senarai jemputan disusun dengan teliti.
Bilangan tetamu yang kecil juga memberi peluang kepada Syahira Norliana dan suaminya, Muhammad Haziq Laham, 30, untuk meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga dan kenalan yang hadir.
Mereka juga mengadakan majlis bertandang di sebelah lelaki sahaja, manakala keluarga Syahira Norliana tidak mengadakan majlis berasingan kerana pasangan itu melangsungkan pertunangan dalam skala agak besar.
Pilihan untuk mengadakan majlis sederhana turut membantu pasangan tersebut mengawal perbelanjaan. Keseluruhan kos kekal bawah RM5,000. Juadah tetamu antara peruntukan terbesar.
Syahira Norliana juga membuat beberapa pilihan praktikal bagi memastikan perbelanjaan kekal dalam kawalan termasuk membeli busana pengantin sedia siap dan mendapatkan khidmat jurusolek berdasarkan anggaran yang ditetapkan.
Beliau berpendapat perancangan awal dan penetapan had perbelanjaan membantu pasangan tidak membuat keputusan terburu-buru semata-mata untuk memenuhi kehendak majlis.
Pandangan orang
Di sebalik keputusan itu, Syahira Norliana mengakui pilihan mengadakan majlis ringkas mengundang pandangan orang sekeliling terutama yang menganggap perkahwinan perlu dirai dalam skala besar.
Situasi tersebut sememangnya boleh memberi tekanan kepada mana-mana pasangan yang mudah terpengaruh atau membandingkan majlis sendiri dengan perkahwinan orang lain.
“Memang ada kecaman apabila kita memilih majlis perkahwinan intim (ringkas). Jadi, bakal pengantin perlu kuat dan berpegang kepada keputusan sendiri, terutama apabila berdepan pandangan atau pertanyaan daripada orang sekeliling.
“Bagi saya, ketenangan lebih penting daripada cuba memenuhi jangkaan orang lain. Perkahwinan bukan hanya tentang satu hari majlis, tetapi bagaimana kita menjalani kehidupan sebagai suami isteri selepas itu,” katanya.
Bagi Syahira Norliana, pasangan yang merancang untuk berkahwin perlu meneliti keperluan yang bakal dihadapi selepas majlis, termasuk kediaman selesa, kelengkapan asas, simpanan kecemasan dan perancangan kewangan.
Setiap pasangan mempunyai keadaan kewangan, keperluan dan keutamaan yang berbeza-beza, justeru keputusan berkaitan majlis wajar dibuat berdasarkan kemampuan masing-masing.
“Bagi pasangan muda, buatlah keputusan berdasarkan kemampuan sendiri. Jangan terlalu memikirkan apa yang orang lain ada atau bagaimana mereka mengadakan majlis.
“Lebih baik kita merancang kewangan dengan baik supaya selepas berkahwin, kita tidak terlalu terbeban dan boleh menikmati kehidupan bersama dengan lebih tenang,” tambahnya.
Di mata Syahira Norliana, majlis perkahwinan hanya berlangsung untuk satu tempoh, sedangkan kehidupan sebagai suami isteri merupakan perjalanan yang panjang dan memerlukan persediaan.
Pilihan untuk meraikan hari bahagia secara sederhana menjadi cara Syahira Norliana dan suami memulakan kehidupan bersama mengikut kemampuan, tanpa menjadikan kemeriahan majlis sebagai ukuran utama sebuah perkahwinan.








