SHAH ALAM, 1 NOV: Konsep ‘intimate wedding’ atau majlis intim menjadi pilihan bakal pengantin yang mahu perjalanan acara lebih ringkas, sekali gus memberi ruang untuk kualiti makanan dan layanan kepada tetamu diberi perhatian dengan lebih baik.
Menurut pengusaha Q Event Space 2, permintaan terhadap majlis berskala kecil bukan perkara baharu, malah konsep itu mendapat sambutan sejak beliau memulakan perniagaan sewaan ruang acara pada 2018.
Nur Izzati Azmi yang sebelum ini menawarkan perkhidmatan mini pelamin sekitar Selangor memberitahu konsep majlis berskala kecil sememangnya mempunyai permintaan tersendiri.
“Permintaan untuk majlis intim memang ada dari dahulu sehingga sekarang. Kebanyakan bakal pengantin memilih konsep ini kerana mengambil kira kos keseluruhan majlis serta perkhidmatan yang ditawarkan.

“Kami sediakan pakej yang merangkumi ruang majlis, katering, pelamin, sistem pembesar suara dan sudut manisan bagi melengkapkan keperluan majlis. Harga yang ditawarkan pula serendah RM2,800 untuk 100 tetamu,” katanya.
Nur Izzati berkata majlis berskala kecil memberi kelebihan dari segi pengurusan, terutama dalam memastikan kualiti makanan dan kuantiti hidangan disediakan mengikut bilangan tetamu.
Katanya, bilangan tetamu yang lebih terkawal memudahkan pengurusan memberi lebih perhatian kepada tetamu, selain memastikan perjalanan majlis berlangsung dengan lancar dan selesa.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan anggaran bilangan jemputan yang tidak tepat boleh menjadi cabaran kepada pengusaha, terutama apabila berlaku lebihan tetamu pada majlis berkenaan.
“Apabila bilangan tetamu tidak dimaklumkan dengan tepat, ia boleh menyukarkan pihak katering menyediakan makanan mencukupi, terutama apabila berlaku lebihan tetamu pada hari majlis.
“Keadaan ini juga boleh menjejaskan perancangan yang dibuat serta menyebabkan pengusaha perlu menyediakan keperluan tambahan pada saat akhir bagi menampung tetamu melebihi bilangan yang dimaklumkan sebelum majlis,” katanya.
Nur Izzati berkata majlis intim sesuai untuk pasangan yang mahu acara lebih ringkas dengan bilangan tetamu lebih kecil terutama yang memberi tumpuan kepada keluarga dan kenalan rapat.
Beliau juga menasihati bakal pengantin supaya berbincang terlebih dahulu dengan ibu bapa sebelum menentukan skala majlis, selain mengambil kira kos dan kemampuan kewangan mereka.








