PUTRAJAYA, 27 NOV: Lebih 1.8 tan dipercayai dadah dirampas di tiga lapangan terbang di negara ini antara Januari hingga November 2026, manakala kira-kira 6,000 haiwan hidup diselamatkan daripada diseludup keluar melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Menurut kenyataan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), pemeriksaan rutin terhadap penumpang dan bagasi oleh anggota Keselamatan Penerbangan (AVSEC) berjaya menggagalkan 63 kes cubaan menyeludup dadah di KLIA, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah di Ipoh, Perak sepanjang tempoh berkenaan.
Dadah jenis ganja menyumbang kira-kira 97 peratus daripada keseluruhan berat dadah yang dirampas, yang dikesan menerusi pemeriksaan awal oleh AVSEC, dan kebanyakan kes dikesan semasa pemeriksaan bagasi daftar masuk di Terminal 1 KLIA.
AVSEC telah menyerahkan semua kes kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk tindakan lanjut.
Pengarah Urusan MAHB Datuk Mohd Izani Ghani berkata anggota AVSEC yang menjadi barisan hadapan dalam menjaga pintu masuk negara telah memainkan peranan penting dalam menggagalkan cubaan penyeludupan.
“Keputusan yang dibuat anggota sebelum pesawat berlepas boleh menentukan sama ada cubaan penyeludupan berjaya dipatahkan sebelum pihak berkuasa mengambil tindakan.
“Sama ada melibatkan dadah atau haiwan hidup, anggota perlu bertindak pantas dan menyerahkan kes kepada agensi yang berkuasa serta mempunyai kepakaran untuk tindakan lanjut. Di KLIA, unit anjing pengesan polis dan Kastam turut membantu mengesan kegiatan berkenaan,” katanya.
AVSEC turut merekodkan 16 kes berkaitan hidupan liar di kedua-dua terminal KLIA antara Februari hingga September tahun ini.
Menurut MAHB, pada 16 Jun lepas, anggota AVSEC memintas dua konsainan yang mengandungi lebih 4,400 kura-kura sebelum haiwan, manakala kes lain melibatkan penyu, ungka dan burung.
Untuk memperkukuh keupayaan pengesanan dadah di KLIA, unit anjing pengesan K9 PDRM dan Jabatan Kastam memulakan operasi perintis dalam terminal pada 26 Okt lepas bagi melengkapi langkah pemeriksaan penumpang dan bagasi sedia ada.
Sementara itu, untuk memastikan petugas lapangan terbang lebih berwaspada pihaknya menjalinkan kerjasama dengan TRAFFIC International Southeast Asia.
Inisiatif itu merangkumi latihan kepada anggota AVSEC, petugas operasi lapangan terbang dan pengendali darat bagi mengenal pasti tanda-tanda kegiatan penyeludupan hidupan liar serta melaporkannya kepada pihak yang berkaitan.







