Menteri Sabah cedera kepala, terima jahitan selepas tergelincir di KLIA

23 Nov 2026, 6:02 AM
Menteri Sabah cedera kepala, terima jahitan selepas tergelincir di KLIA
Menteri Sabah cedera kepala, terima jahitan selepas tergelincir di KLIA

SHAH ALAM, 23 NOV: Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar menerima beberapa jahitan di kepala selepas tergelincir dalam tandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pagi tadi.

Jamawi menerusi hantaran Facebook memaklumkan kejadian berlaku ketika beliau menggunakan tandas berhampiran Bilik Bunga Mawar di kawasan menunggu orang kenamaan (VIP) lapangan terbang itu.

Menurutnya, lantai tandas yang licin menyebabkan beliau terjatuh sehingga kepalanya terhantuk pada lantai.

“Sebenarnya, ia kemalangan kecil ketika saya menggunakan tandas berhampiran Bilik Bunga Mawar di kawasan menunggu VIP KLIA.

“Lantai tandas yang licin menyebabkan saya tergelincir dan kepala terhantuk pada lantai,” katanya.

Jamawi berkata beberapa kenalan yang melihatnya dengan kepala berbalut tuala berdarah turut menghubunginya untuk mengetahui keadaan sebenar.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap merakamkan penghargaan kepada doktor dan jururawat Menara Medical Clinics KLIA yang memberikan rawatan serta menjahit luka di kepalanya.

Susulan kejadian itu, Jamawi menasihatkan Malaysia Airports supaya menambah baik keadaan lantai tandas dan laluan kecemasan ke klinik berhampiran.

Beliau turut menyarankan kakitangan lapangan terbang diberikan latihan sewajarnya bagi memastikan bantuan kecemasan dapat diberikan dengan segera.

Jamawi dijadual meneruskan perjalanan ke Kota Kinabalu pada jam 1.05 tengah hari selepas selesai lawatan kerja di Brasilia, Brazil.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.