KLIA perketat kawalan dadah, ujian rawak kru penerbangan dilaksana

26 Nov 2026, 2:20 AM
KLIA perketat kawalan dadah, ujian rawak kru penerbangan dilaksana

SHAH ALAM, 26 NOV: Kerajaan memperketat kawalan keselamatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) termasuk ujian dadah secara rawak terhadap juruterbang dan kru penerbangan bagi membendung kegiatan pengedaran dadah.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata langkah itu antara 17 syor penambahbaikan keselamatan yang diluluskan Jemaah Menteri pada 19 Ogos lalu susulan beberapa insiden keselamatan di pintu masuk negara.

Menurutnya, pelan tindakan bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pengangkutan (MOT) akan dilaksanakan dalam tiga fasa bagi memperkukuh kawalan keselamatan serta saringan di KLIA dan pintu masuk antarabangsa.

“Fasa pertama memberi tumpuan kepada penutupan kelompongan kawalan secara optimum menggunakan punca kuasa, anggota dan aset sedia ada.

“Ia merangkumi pengetatan tapisan e-Vetting pas keselamatan, penguatkuasaan ujian dadah rawak ke atas juruterbang dan kru penerbangan serta pusingan kerja berkala petugas zon terhad,” katanya dalam jawapan bertulis kementerian itu di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan Dato' Khlir Mohd Nor (Ketereh) mengenai langkah jangka pendek dan panjang bagi memastikan pengedaran dadah secara besar-besaran melalui KLIA tidak berulang.

Saifuddin berkata fasa pertama yang meliputi tempoh enam bulan turut merangkumi peningkatan kehadiran anggota polis serta cadangan penempatan semula Unit K9 Narkotik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di zon pelepasan khas dan kawasan bagasi berisiko.

Katanya, integrasi risikan pengembara menerusi Pusat Kawalan Imigresen Nasional (NICC) turut menjadi antara langkah memperketat kawalan.

Bagi fasa kedua dalam tempoh enam hingga 24 bulan, kerajaan memberi tumpuan kepada perolehan pengimbas bagasi berkuasa tinggi, pengimbas badan dan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) yang dilengkapi teknologi analitik kecerdasan buatan (AI).

Langkah itu turut melibatkan pengukuhan Unit K9 PDRM, integrasi data NICC serta latihan tenaga kerja berkemahiran khusus.

Sementara itu, fasa ketiga yang melangkaui tempoh 24 bulan membabitkan pemodenan sistem keselamatan secara menyeluruh, termasuk penggantian pengimbas bagasi dan badan dengan teknologi AI generasi baharu.

Menurutnya, kerajaan juga merancang pengubahsuaian infrastruktur terminal dan kargo mengikut tahap risiko serta peluasan piawaian keselamatan seragam di semua pintu masuk udara, darat dan laut negara.

Pelan berkenaan berteraskan tiga aspek utama, iaitu keselamatan penerbangan, keselamatan negara dan sempadan serta keselamatan fizikal dan perlindungan.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.