SHAH ALAM, 26 NOV: Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) merobohkan binaan tanpa kelulusan yang dijadikan tempat tinggal di atas bumbung sebuah rumah kedai empat tingkat di Jalan Seri Sarawak 14, Taman Seri Andalas, Klang.
MBDK menerusi hantaran Facebook memaklumkan pemeriksaan mendapati binaan di bangunan berstatus hak milik strata itu menggunakan bahan terpakai, selain berada dalam keadaan kotor dan berbau.
Menurutnya, keadaan tersebut menimbulkan kacau ganggu serta berisiko menjejaskan keselamatan dan kesihatan awam.
“Pemeriksaan mendapati binaan berkenaan menggunakan bahan terpakai dan dijadikan tempat tinggal dalam keadaan persekitaran yang kotor serta berbau.
“Situasi tersebut telah menimbulkan kacau ganggu dan boleh mendatangkan risiko terhadap keselamatan serta kesihatan awam,” menurut hantaran itu.
Operasi bersepadu berkenaan melibatkan Ahli Majlis N49A, Mohd Rayme Abdul Rahman bersama Jabatan Bangunan, Jabatan Penguatkuasa, Jabatan Pesuruhjaya Bangunan, Jabatan Perkhidmatan Persekitaran dan Jabatan Komunikasi Korporat MBDK.
MBDK turut mengingatkan orang ramai supaya tidak melakukan sebarang pembinaan atau pengubahsuaian tanpa kelulusan pihak berkuasa tempatan.
“Pematuhan bukan sekadar memenuhi peraturan, tetapi penting bagi melindungi keselamatan penghuni dan masyarakat sekitar,” menurut MBDK.










