Peruntukan RM1 juta perkukuh kerjasama PIBG, tingkat kesedaran keselamatan sekolah

17 Nov 2026, 1:00 AM
Peruntukan RM1 juta perkukuh kerjasama PIBG, tingkat kesedaran keselamatan sekolah
Peruntukan RM1 juta perkukuh kerjasama PIBG, tingkat kesedaran keselamatan sekolah
Peruntukan RM1 juta perkukuh kerjasama PIBG, tingkat kesedaran keselamatan sekolah

KLANG, 17 NOV: Peruntukan RM1 juta oleh Kerajaan Negeri bagi memperkukuh kerjasama dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) disifatkan mampu mempergiat usaha membudayakan keselamatan dalam persekitaran sekolah.

Yang Dipertua PIBG Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Sungai Buaya, Dato’ Ruslee Hashim berkata dana itu boleh dimanfaatkan bagi melaksanakan program kesedaran keselamatan dengan penglibatan pakar untuk memberi latihan kepada warga sekolah.

“Alhamdulillah Kerajaan Negeri Selangor melihat ia sebagai satu perkara yang dikira penting. Contohnya dari segi kursus, mungkin kita panggil pakar-pakar tertentu masuk ke sekolah untuk memberikan tunjuk ajar.

“Atau memberikan kursus, pendedahan kepada pelajar, guru dan juga komuniti kita tentang pentingnya untuk kita mengawasi keselamatan dalam dan mungkin juga di luar sekolah,” katanya kepada Media Selangor.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Sungai Buaya, Dato’ Ruslee Hashim. Foto ADIBAH IZAM/MEDIA SELANGOR

Menurutnya, usaha memperkukuh keselamatan turut memerlukan langkah pencegahan seperti pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi bersesuaian serta penyediaan pengawal keselamatan yang mencukupi dan berkualiti.

Selain itu, beliau menegaskan keselamatan pelajar merupakan tanggungjawab bersama ibu bapa, komuniti dan pihak sekolah.

“Tidak boleh hanya mengharapkan sekolah sahaja memikirkan soal keselamatan anak-anak walaupun di sekolah. Ibu bapa juga perlu memainkan peranan aktif terutama dalam aktiviti bersama PIBG,” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua PIBG SMK Syed Mashor, Azman Abdul Jamal berkata inisiatif berkenaan bertepatan dengan keperluan meningkatkan kesedaran keselamatan pelajar, termasuk mengenai gangguan seksual dan gejala buli.

Beliau mencadangkan penganjuran program yang melibatkan ibu bapa dan pelajar bagi meningkatkan pemahaman mengenai keselamatan diri serta memupuk tingkah laku bertanggungjawab.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Syed Mashor, Azman Abdul Jamal. Foto ADIBAH IZAM/MEDIA SELANGOR

“Bantuan itu boleh buat program. Saya rasa dari segi keibubapaan. Keduanya, dari segi pelajar itu sendiri. Dia kena ada satu kesedaran.

“Saya rasa itu sangat bagus. Kena bagi kesedaran macam tu kepada ibu bapa, kepada pelajar itu sendiri. Jadi kita boleh buat program-program seperti ini untuk gejala buli dan sebagainya,” katanya.

Terdahulu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2027 mengumumkan peruntukan RM1 juta bagi memperkukuh kerjasama dengan PIBG melalui peningkatan aktiviti dan usaha memupuk kesedaran keselamatan dalam kalangan warga sekolah.

Menurutnya, langkah proaktif itu diambil susulan beberapa insiden keselamatan di sekolah sepanjang tahun ini yang menimbulkan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa, guru dan murid.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.