Dana RM2 juta baik pulih KAFAI, keselesaan pelajar, guru perlu jadi keutamaan

27 Nov 2026, 1:00 AM
Dana RM2 juta baik pulih KAFAI, keselesaan pelajar, guru perlu jadi keutamaan
Dana RM2 juta baik pulih KAFAI, keselesaan pelajar, guru perlu jadi keutamaan

SEPANG, 27 NOV: Dana RM2 juta untuk kerja baik pulih Kelas Al-Quran dan Fardu Ain Integrasi (KAFAI) di Selangor diharap dapat dimanfaatkan bagi meningkatkan kemudahan pembelajaran serta keselesaan pelajar.

Seorang ibu, Nor Fazilah Sidek, 43, berkata peruntukan di bawah Belanjawan Selangor 2027 itu perlu digunakan untuk menaik taraf blok sekolah supaya kemudahannya setanding dengan institusi di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Nor Fazilah Sidek. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIA SELANGOR

“Peruntukan ini amat membantu pihak sekolah melaksanakan kerja baik pulih infrastruktur yang diperlukan, khususnya blok akademik yang memerlukan penambahbaikan bagi memastikan kemudahan pembelajaran sentiasa dalam keadaan baik.

“Diharapkan usaha menaik taraf ini dapat menyediakan persekitaran lebih selesa dan kondusif sekali gus memberi keselesaan kepada pelajar dan guru sepanjang berada di sekolah,” katanya kepada Media Selangor.

Yang Dipertua PIBG Maahad Integrasi Tahfiz Selangor (MITS) Alam Impian Profesor Dr Syahrul Nizam Kamarulzzaman. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIA SELANGOR

Bagi Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Maahad Integrasi Tahfiz Selangor (MITS) Alam Impian, Prof Dr Syahrul Nizam Kamarulzzaman, peruntukan itu amat diperlukan dan dinantikan warga sekolah bagi menambah baik kemudahan serta infrastruktur sedia ada.

Beliau berharap bantuan berkenaan dapat disalurkan segera kepada sekolah yang benar-benar memerlukan supaya kerja baik pulih dapat dilaksanakan tanpa perlu menunggu terlalu lama.

“Tumpuan sewajarnya diberikan kepada kawasan atau bangunan yang kerap digunakan oleh pelajar dan guru. Ini penting bagi memastikan kemudahan berkenaan sentiasa dalam keadaan baik dan selesa untuk kegunaan harian,” katanya.

Pelajar Maahad Integrasi Tahfiz Selangor (MITS) Alam Impian Hanan Sumaiyyah Roslan, 16. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIA SELANGOR

Sementara itu, pelajar MITS Alam Impian, Muhammad Zihni Ulwan Anizan, 16, menyambut baik peruntukan itu yang disifatkan mampu meningkatkan kemudahan sekolah untuk kegunaan harian.

“Saya berharap kerja baik pulih turut memberi perhatian kepada tandas, bilik sukan dan padang bagi memastikan kemudahan berkenaan berada dalam keadaan baik serta selamat digunakan,” katanya.

Pada 14 November lalu, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2027 mengumumkan peruntukan RM2 juta bagi melaksanakan kerja baik pulih 292 KAFAI uzur di negeri ini.

Beliau berkata Bantuan Khas Baik Pulih itu akan diselaraskan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bagi memastikan kemudahan dan prasarana sekolah agama berada dalam keadaan selamat serta kondusif.

Belanjawan Selangor 2027 bertemakan ‘Selangor Negeri Progresif, Institusi Dijunjung, Rakyat Disantuni’ memperuntukkan RM3.3 bilion, merangkumi RM1.9 bilion bagi perbelanjaan mengurus dan RM1.4 bilion untuk perbelanjaan pembangunan.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.