Pengurusan kewangan cermat bantu kerajaan kekalkan subsidi minyak

26 Nov 2026, 9:37 AM
Pengurusan kewangan cermat bantu kerajaan kekalkan subsidi minyak

SHAH ALAM, 26 NOV: Kejayaan mengurus kewangan secara cermat dan membendung ketirisan bukan sahaja membolehkan kerajaan mengekalkan subsidi minyak, menaikkan gaji penjawat awam serta menyalurkan bantuan rakyat, malah keupayaan mengekalkan harga minyak rendah turut menarik perhatian pemimpin luar.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, harga minyak yang rendah dinikmati rakyat bukan sesuatu yang diperoleh secara percuma sebaliknya membabitkan tanggungan kewangan yang besar oleh kerajaan.

"Kerajaan kena tampung kos subsidi RM40 bilion setahun untuk pertahankan harga minyak.

"Bagaimana boleh kita tampung RM40 bilion ini, selain RM16 bilion untuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

"Sebab kita cermat dalam pengurusan kewangan. Kita elak daripada kecurian, bocor dan sebagainya," katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Pingat Emas Yayasan Terengganu Kali Ke-46 dan Hadiah Kecemerlangan Pendidikan di Taman Tamadun Islam di sini, hari ini, lapor Harian Metro.

Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan sikap sesetengah pihak yang memandang ringan perbuatan mencuri apabila dilakukan oleh individu berkedudukan tinggi sedangkan kesalahan sama dalam kalangan murid sekolah dikenakan hukuman.

Katanya, nilai akhlak dan adab yang diterapkan sejak di bangku sekolah seharusnya terus dipertahankan tanpa mengira kedudukan seseorang dalam masyarakat.

"Inilah sebabnya mengapa bagi saya pendidikan itu sangat penting dan bukannya berkisar hanya pendidikan di sekolah semata-mata," katanya.

Anwar turut menegaskan pendidikan kekal menjadi keutamaan kerajaan, apabila menerima peruntukan terbesar sepanjang empat tahun pelaksanaan Belanjawan Madani.

Menurutnya, peruntukan sektor pendidikan meningkat daripada RM66.2 bilion tahun lalu kepada RM69 bilion tahun ini diikuti sektor kesihatan kedua sebelum diikuti pertahanan dan sebagainya.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.