SHAH ALAM, 28 SEPT: Rakyat menyifatkan sistem pembaharuan MyKad di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Selangor, Shah Alam sebagai teratur, pantas dan mesra pelanggan.
Tinjauan Media Selangor mendapati rata-rata pengunjung berasa lega apabila proses berjalan lancar serta sistematik, tanpa perlu menunggu lama.
Seorang pemohon, Ammar Syafiq Jamsari, 22, berkata pengurusan kaunter yang tersusun memudahkan rakyat menguruskan pembaharuan MyKad.

“Proses di sini sangat teratur, cepat dan memudahkan rakyat mencari kaunter selain arahan jelas daripada petugas,” katanya.
Sementara itu, Nurul Aiman Faisal Azni, 35, menzahirkan rasa syukur kerana inisiatif kerajaan berkenaan benar-benar meringankan beban rakyat.

“Proses amat dipermudahkan, tidak sesak dan tidak memerlukan masa menunggu lama. Kakitangan pula sangat mesra, membantu serta cekap,” ujarnya.
Bagi Ngui Hee Hian, 57, pengalaman di JPN Shah Alam kali ini cukup memuaskan kerana dibimbing dengan baik sepanjang proses.

“Saya rasa proses hari ini sangat baik, terutamanya bagi saya yang kurang arif tentang prosedur dokumen seperti ini. Saya gembira kerana dibimbing dengan baik, dan berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan,” katanya yang juga seorang pengurus projek.
Seorang pelajar, T. Tarraniswaran, 17, pula menegaskan kepentingan MyKad sebagai identiti rakyat selain memudahkan akses kepada subsidi.

“MyKad sangat penting kerana ia identiti kita dan cipnya boleh bantu untuk subsidi minyak serta pembelian barangan. Saya datang awal, trafik perjalanan lancar dan staf sangat bagus, cekap serta penuh hormat,” katanya.
Skim pembaharuan MyKad secara percuma diteruskan hingga 7 Oktober 2025 bagi melancarkan pelaksanaan subsidi minyak BUDI95 yang bermula pada 30 September ini.