Internet, subsidi minyak antara tumpuan Dewan Rakyat hari ini

15 Jul 2026, 12:05 AM
Internet, subsidi minyak antara tumpuan Dewan Rakyat hari ini

KUALA LUMPUR, 15 JULAI: Masalah gangguan capaian Internet dan kesan konflik di Asia Barat terhadap perbelanjaan subsidi bahan api negara antara perkara dibangkitkan pada Persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat di portal Parlimen, isu talian telefon yang menunjukkan isyarat penuh tetapi gagal mengakses Internet akan dibangkitkan Datuk Anyi Ngau (GPS-Baram) kepada Menteri Komunikasi, bagi mendapatkan pelan tuntas Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung masalah itu.

Turut menjadi tumpuan ialah soalan Mohd Syahir Che Sulaiman (PN-Bachok) yang meminta Menteri Kewangan menyatakan penilaian terkini kesan konflik Asia Barat terhadap perbelanjaan subsidi bahan api negara serta kesannya kepada sasaran defisit fiskal bagi tahun ini.

Jamaludin Yahya (PN-Pasir Salak) pula meminta Menteri Kewangan menyatakan langkah memudahkan pekerja sendiri, penjaja dan pekerja ekonomi gig mendapat kelulusan pinjaman perumahan pertama walaupun tidak mempunyai slip gaji tetap.

Selain itu, Yeo Bee Yin (HARAPAN-Puchong) akan meminta penjelasan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mengenai kesediaan kerajaan mewujudkan kerangka kawal selia kebangsaan serta menggubal undang-undang baharu bagi memantau pusat penjagaan berpantang.

Usai sesi soal jawab, mesyuarat diteruskan dengan bacaan kali kedua bagi Rang Undang-Undang (RUU) Komunikasi dan Multimedia (Pindaan) 2026 dan RUU Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (Pindaan) 2026.

Kedua-dua RUU itu dibacakan buat kali pertama di Dewan Rakyat pada Isnin lepas (13 Julai).

Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 16 hari bermula 22 Jun lepas hingga Khamis ini.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.