SHAH ALAM, 27 SEPT: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Selangor merekodkan 850 kes cip MyKad rosak dalam tempoh tiga hari sejak kerajaan melaksanakan skim pembaharuan secara percuma sempena pelaksanaan subsidi petrol BUDI95 bermula 30 September ini.
Pengarahnya, Muhammad Hafiz Abdul Rahim berkata angka itu menunjukkan peningkatan ketara susulan permohonan pembaharuan MyKad oleh orang ramai.
“Dalam tempoh tiga hari lalu, kami merekodkan sebanyak 850 kes cip rosak ketika proses pembaharuan dijalankan.
“Sepanjang September sahaja, JPN Selangor menerima lebih 11,000 permohonan berkaitan MyKad termasuk permohonan baharu, kerosakan, penggantian dan kehilangan,” katanya kepada Media Selangor.
Dalam masa sama, Muhammad Hafiz mengingatkan orang ramai supaya sentiasa peka terhadap dokumen penting masing-masing serta segera berurusan di pejabat JPN sekiranya berdepan masalah.
Skim pembaharuan MyKad secara percuma itu berlangsung hingga 7 Oktober depan bagi memastikan pelaksanaan inisiatif BUDI95 berjalan lancar.