Lebih 40,000 kandungan buli libatkan kanak-kanak diturunkan setakat November

26 Nov 2026, 7:34 AM
Lebih 40,000 kandungan buli libatkan kanak-kanak diturunkan setakat November

SHAH ALAM, 26 NOV: Sebanyak 40,214 kandungan berunsur buli dan 55 kandungan jelik melampau membabitkan kanak-kanak diturunkan penyedia perkhidmatan dalam talian bagi tempoh 1 Januari hingga 15 November tahun ini.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata kerajaan memandang serius keselamatan kanak-kanak di alam maya, khususnya berkaitan buli siber, eksploitasi seksual dan pendedahan kepada kandungan memudaratkan.

Beliau berkata usaha menangani isu itu dilaksanakan secara bersepadu membabitkan kementerian serta agensi berkaitan mengikut bidang kuasa dan peruntukan undang-undang masing-masing.

Menteri Komunikasi merangkap Ahli Parlimen Lembah Pantai Datuk Fahmi Fadzil menjawab soalan pada sesi pertanyaan bagi jawab lisan sempena Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima, Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, Bangunan Parlimen pada 26 November 2026. Foto BERNAMA

“Antara hasil operasi yang dilaksana sepanjang tahun ini adalah seperti berikut, pertama, operasi CyberGarden 2026 yang membawa kepada 69 tangkapan serta rampasan 498,690 fail digital termasuk 204,934 fail bahan penderaan seksual kanak-kanak atau child sexual abuse material (CSAM).

“Op Pedo Bersepadu 3.0 yang dilaksana pada 14 hingga 16 September tahun ini hasil risikan bersama polis dan SKMM melibatkan 52 serbuan dan 53 tangkapan termasuk lapan orang remaja,” katanya, lapor Berita RTM.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Parlimen Rantau Panjang, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff berhubung langkah kerajaan menangani isu eksploitasi seksual dan buli siber.

Menurut Fahmi, polis turut menjalankan penguatkuasaan berdasarkan undang-undang berkaitan, termasuk Kanun Keseksaan dan Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Sebelum itu, Op Pedo 2 yang dilaksanakan pada 22 hingga 30 September 2025 membabitkan 37 serbuan di sembilan negeri, dengan 31 tangkapan serta rampasan lebih 880,000 fail CSAM. Susulan operasi itu, 17 individu telah didakwa di mahkamah.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.