Salah guna media sosial: SKMM ambil tindakan terhadap 82 kes

26 Nov 2026, 5:45 AM
Salah guna media sosial: SKMM ambil tindakan terhadap 82 kes
Salah guna media sosial: SKMM ambil tindakan terhadap 82 kes

SHAH ALAM, 26 NOV: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap 82 kes penyalahgunaan media sosial setakat 15 November lalu.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, berkata ia membabitkan penyalahgunaan media sosial melalui penyebaran kandungan lucah, sumbang, palsu, mengancam dan jelik melampau.

Katanya, daripada jumlah itu, 25 kes didakwa di mahkamah, manakala 16 kes dikenakan kompaun dan 41 kes diberikan surat amaran.

"Bagi tempoh sama, 40,214 kandungan berunsur buli dan 55 kandungan jelik membabitkan kanak-kanak diturunkan oleh pemberi perkhidmatan berikutan permohonan SKMM.

"Statistik penurunan kandungan berunsur buli merangkumi semua kategori umur. Statistik itu merujuk kepada jumlah kandungan yang diturunkan dan bukan jumlah kes jenayah atau mangsa yang terbabit," katanya ketika Sesi Jawab Lisan di Dewan Rakyat di sini, hari ini, lapor Harian Metro.

Menteri Komunikasi merangkap Ahli Parlimen Lembah Pantai Datuk Seri Fahmi Fadzil menjawab soalan pada sesi pertanyaan sempena Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima, Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, Bangunan Parlimen pada 26 November 2026. Foto BERNAMA

Beliau menjawab soalan Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (PH-Rantau Panjang) yang meminta menyatakan jumlah kes 2026 membabitkan buli siber, eksploitasi seksual dan kandungan berbahaya terhadap kanak-kanak serta keberkesanan kerangka pelesenan platform media sosial yang berkuat kuasa sejak 1 Januari 2025.

Tambahnya, dalam membanteras eksploitasi seksual kanak-kanak dalam talian, SKMM turut bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui pemberian bantuan teknikal, pembekalan maklumat dan analisis forensik digital serta pelaksanaan operasi bersepadu.

Katanya, hasil Operasi Cyber Guardian 2026 membawa kepada 69 tangkapan serta rampasan 498,690 fail digital, termasuk 204,934 fail bahan penderaan seksual kanak-kanak.

"Manakala 52 serbuan dan 53 tangkapan, termasuk lapan remaja dilaksanakan melalui Op Pedo Bersepadu 3.0 yang dilaksanakan pada 14 hingga 16 September lalu," katanya.

Fahmi berkata, kerjasama SKMM dan PDRM menerusi pelaksanaan Op Pedo 1.0 sebelum ini turut membawa kepada penahanan beberapa individu serta rampasan lebih 40,000 fail penganiayaan seksual kanak-kanak (CSAM).

"Sebanyak 37 serbuan di sembilan negeri dengan 31 tangkapan serta rampasan lebih 880,000 fail CSAM menerusi Op Pedo 2.0 dilaksanakan dari 22 hingga 30 September 2025.

"Susulan operasi itu, seramai 17 individu didakwa di mahkamah," katanya.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.