SKMM gesa padam video kejadian senjata berbahaya di sekolah Kuching

22 Okt 2026, 11:30 AM
SKMM gesa padam video kejadian senjata berbahaya di sekolah Kuching

PUTRAJAYA, 22 OKT: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menggesa individu yang memuat naik atau berkongsi rakaman video kejadian melibatkan senjata berbahaya di sebuah sekolah di Kuching, Sarawak supaya segera memadamkan kandungan berkenaan.

SKMM dalam kenyataan hari ini memaklumkan penyebaran rakaman yang memaparkan unsur keganasan, khususnya melibatkan kanak-kanak, bukan sahaja boleh menjejaskan privasi dan maruah pihak terlibat, malah memberikan kesan terhadap kesejahteraan emosi mereka serta keluarga.

Menurut suruhanjaya itu, tindakan mendedahkan identiti kanak-kanak boleh melanggar Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001 [Akta 611].

"Penyebaran kandungan sedemikian juga boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588], sekiranya melanggar peruntukan undang-undang berkenaan," menurut kenyataan itu.

SKMM memaklumkan pihaknya bekerjasama dengan penyedia platform media sosial bagi membendung penyebaran rakaman itu, termasuk mengambil langkah menurunkan kandungan berkaitan.

Sehubungan dengan itu, SKMM mengingatkan orang ramai termasuk pengamal media supaya tidak memuat naik, berkongsi atau menyebarkan semula video insiden berkenaan bagi melindungi privasi kanak-kanak dan mengelakkan gangguan terhadap siasatan pihak berkuasa.

-- BERNAMA

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.