KUALA LUMPUR, 9 SEPT: Rapid KL akan melaksanakan kerja penggantian landasan di Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya secara berperingkat merangkumi tujuh fasa, bermula 13 September ini hingga September 2027.
Rapid KL memaklumkan kerja penambahbaikan ini dilakukan bagi memastikan infrastruktur landasan sentiasa berada pada tahap keselamatan dan kebolehpercayaan yang tinggi.
Menurut kenyataan itu stesen yang terlibat dengan kerja-kerja penggantian landasan akan mula beroperasi pada 9.30 pagi berbanding 6 pagi pada kebiasaannya, manakala stesen yang tidak terlibat akan beroperasi seperti biasa mengikut jadual.
Kerja penggantian landasan membabitkan stesen Gombak dan Taman Melati pada 13, 20 dan 27 September, diikuti fasa kedua bagi stesen Universiti, Kerinchi dan Abdullah Hukum (15, 22 dan 29 November), serta fasa ketiga merangkumi stesen Dato’ Keramat, Jelatek dan Setiawangsa (10, 17 dan 24 Januari 2027).
"Fasa keempat melibatkan stesen Universiti, Kerinchi dan Abdullah Hukum pada 14, 21 dan 28 Mac 2027, diikuti fasa kelima membabitkan stesen Masjid Jamek, Dang Wangi, Kampung Baru, KLCC dan Ampang Park pada 9, 16 dan 23 Mei 2027," menurut kenyataan itu.
Sementara itu, fasa keenam melibatkan stesen Taman Jaya, Universiti, Kerinchi dan Abdullah Hukum pada 11, 18 dan 25 Julai 2027, manakala fasa terakhir membabitkan stesen Gombak dan Taman Melati pada 12, 19 dan 26 September 2027.
Mesin tiket di setiap stesen yang terlibat akan ditutup sementara hingga 9.30 pagi dan pengguna boleh mendapatkan tiket di kaunter stesen manakala pengguna produk Rapid KL dan Touch 'n Go boleh meneruskan perjalanan seperti biasa.
"Rapid KL juga akan menyediakan perkhidmatan bas perantara ulang-alik percuma yang menghubungkan stesen-stesen terlibat sepanjang tempoh kerja-kerja penggantian landasan dijalankan," menurut kenyataan itu.
Bagi melancarkan pergerakan penumpang, petugas stesen, polis bantuan serta sukarelawan 'Prasarana Troopers' akan ditempatkan di lokasi terlibat, manakala papan tanda serta risalah maklumat turut disediakan.
Pengguna Laluan Kelana Jaya dinasihatkan menyemak jadual kerja penggantian landasan dan pergerakan bas alternatif menerusi laman sesawang www.myrapid.com.my serta saluran media sosial rasmi Rapid KL.
“Kerja-kerja penggantian landasan ini penting bagi memastikan infrastruktur Laluan Kelana Jaya terus berada pada tahap keselamatan dan kebolehpercayaan yang tinggi demi menyokong perkhidmatan rel yang lebih andal pada masa hadapan.
“Rapid KL menghargai kerjasama serta sokongan para penumpang sepanjang tempoh pelaksanaan kerja-kerja penambahbaikan infrastruktur ini,” menurut kenyataan itu.







