MRT Laluan Kajang alami kelewatan akibat cubaan curi kabel

16 Okt 2026, 1:15 AM
MRT Laluan Kajang alami kelewatan akibat cubaan curi kabel

SHAH ALAM, 16 OKT: Perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Kajang mengalami kelewatan pagi ini susulan cubaan mencuri kabel dan pencerobohan landasan antara Stesen Phileo Damansara dan Pusat Bandar Damansara.

Rapid KL memaklumkan kejadian dikesan kira-kira jam 5.30 pagi sebelum bekalan kuasa di kawasan terlibat diputuskan sementara mengikut prosedur operasi dan keselamatan ditetapkan.

Menurutnya, langkah itu bagi membolehkan Pasukan Polis Bantuan menjalankan pemeriksaan dan operasi mengesan suspek tanpa menjejaskan keselamatan penumpang serta petugas.

"Ia juga bagi memastikan keselamatan penumpang, petugas serta kawasan landasan dan kelancaran operasi perkhidmatan tren.

"Bekalan kuasa disambung semula pada jam 6.32 pagi selepas tindakan yang diperlukan selesai dilaksanakan," menurut kenyataan itu.

Sepanjang operasi pemeriksaan dan pencarian dijalankan, perkhidmatan tren alternatif turut disediakan sementara bagi memastikan perjalanan penumpang dapat diteruskan dengan selamat.

Sementara itu, Rapid KL menegaskan pihaknya memandang serius kejadian kecurian kabel yang berpotensi menjejaskan kelancaran perkhidmatan tren serta keselamatan penumpang dan petugas.

"Laporan polis telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

"Rapid KL akan terus bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk membantu siasatan dan mencegah kejadian seumpama ini daripada berulang," katanya.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.