SHAH ALAM, 26 NOV: Juruwang wanita berusia 17 tahun didakwa ditolak dan ditendang beberapa individu daripada sebuah keluarga dalam kejadian di pasar mini di Taman Bertam Perdana, Melaka.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Halim Abas berkata kejadian berlaku kira-kira jam 9.30 malam Ahad lalu.
Menurutnya, siasatan awal mendapati seorang pelanggan wanita menegur rakan sekerja mangsa yang bertugas di kaunter pembayaran kerana didakwa tidak senyum.
Katanya, wanita terbabit kemudian keluar dari kedai sebelum suaminya masuk bersama empat anaknya tidak lama kemudian.
“Lelaki itu kemudian membaling kotak rokok ke arah mangsa sambil menjerit bertanyakan siapa yang membaling rokok ke arah isterinya sebelum menolak mangsa dengan kuat hingga ke arah peti sejuk.
“Seorang wanita dipercayai anak perempuan lelaki itu turut masuk ke kedai, menengking mangsa sebelum menendang kakinya beberapa kali,” katanya ketika dihubungi, lapor Harian Metro.
Halim berkata keadaan kemudian ditenteramkan oleh wanita yang mencetuskan perselisihan awal sebelum keluarga terbabit beredar menaiki kenderaan berwarna biru gelap.
Mangsa membuat laporan polis pada Isnin bagi tindakan lanjut selain mendapatkan rawatan di hospital.
Kes disiasat mengikut Seksyen 506 dan 323 Kanun Keseksaan manakala polis sedang mengesan semua individu terbabit.
Terdahulu, video kejadian berdurasi satu minit 20 saat tular di media sosial selepas dikongsi individu yang mendakwa kakak mangsa dan meminta polis mengambil tindakan terhadap pelaku.






