SHAH ALAM, 25 JUN: Juruwang didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret Kota Bharu hari ini selepas mengaku bersalah merakam kakak iparnya di dalam tandas menggunakan kamera perakam di tempat mereka bekerja, minggu lalu.
Tertuduh berusia 29 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Rais Imran Hamid.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa merakam wanita berusia 30 tahun ketika mangsa sedang menyelak baju di dalam tandas tanpa pengetahuannya dengan menggunakan kamera perakam, dengan niat mengaibkan kehormatan dan mengganggu kesantunan mangsa.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah pasar mini di Jalan Kuala Krai, Kota Bharu kira-kira jam 1 tengah hari 19 Jun lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nadzir Abdullah, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Roshayati Hassan.
Terdahulu, Muhammad Nadzir memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kerana perbuatan tertuduh menyebabkan mangsa berasa malu.
"Tertuduh mempunyai ikatan kekeluargaan dengan mangsa dan mereka berdua juga bekerja di tempat sama.
"Jadi mohon hukuman setimpal yang memberi pengajaran kepada tertuduh," katanya, lapor Harian Metro.
Peguam bela pula memohon denda minimum dengan alasan tertuduh yang bekerja sebagai juruwang hanya memperoleh pendapatan RM1,200 sebulan.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM5,000. Sekiranya gagal membayar denda itu, tertuduh perlu menjalani hukuman penjara selama sembilan bulan.







