RUU Perubahan Iklim dilaksana berperingkat, elak beban kos industri

26 Nov 2026, 2:43 AM
RUU Perubahan Iklim dilaksana berperingkat, elak beban kos industri

KUALA LUMPUR, 26 NOV: Kerajaan akan melaksanakan Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara (RUU PIN) secara berperingkat bagi mengelakkan peningkatan kos mendadak kepada industri, selain memastikan daya saing dan pelaburan negara tidak terjejas.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata pendekatan itu mengambil kira kesiapsiagaan industri dalam menghadapi ketegangan geopolitik, gangguan rantaian bekalan dan peningkatan kos operasi.

Menurutnya, pelaksanaan RUU berkenaan akan melibatkan tempoh peralihan munasabah, panduan teknikal dan mekanisme sokongan kepada industri, selain penguatkuasaan berdasarkan risiko serta tahap ketidakpatuhan.

“Kerajaan akan memastikan pelaksanaan dan penguatkuasaan Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara (RUU PIN) dilaksanakan secara progresif, berperingkat dan mengambil kira kesiapsiagaan serta keupayaan industri, tanpa menjejaskan daya saing dan daya tarikan pelaburan negara,” katanya dalam jawapan bertulis kementerian itu di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan Dato' Verdon Bahanda (Kudat) mengenai langkah memastikan penguatkuasaan RUU PIN tidak membebankan industri ketika berdepan ketidaktentuan ekonomi global.

Arthur berkata antara persediaan sedang dilaksanakan ialah pembangunan garis panduan pemantauan, pelaporan dan pengesahan (MRV) bagi membantu industri memahami keperluan pematuhan sebelum undang-undang itu dikuatkuasakan.

Katanya, garis panduan itu merangkumi jenis data yang perlu dikumpul, kaedah pengiraan pelepasan gas rumah hijau, format pelaporan dan proses pengesahan.

Langkah tersebut turut membantu industri mengenal pasti kekurangan dari segi data, sistem, tenaga kerja dan kepakaran teknikal supaya penyesuaian dapat dilakukan secara berperingkat tanpa peningkatan kos mendadak.

Menurutnya, garis panduan MRV juga akan menyokong mekanisme harga karbon sekiranya instrumen pasaran karbon dan skim perdagangan pelepasan dilaksanakan kelak.

Sementara itu, Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC) sedang membangunkan modul kesedaran serta program peningkatan keupayaan berkaitan perubahan iklim, pasaran karbon dan mekanisme pengkreditan karbon.

Arthur berkata kerajaan juga akan menyelaraskan dasar dan peraturan iklim dengan perkembangan teknologi serta keadaan pasaran bagi mengelakkan pertindihan syarat pematuhan antara kementerian dan agensi.

Katanya, pendekatan itu bertujuan memberi kepastian kepada pelabur, menggalakkan pelaburan teknologi rendah karbon dan memastikan usaha mengurangkan pelepasan gas rumah hijau dilaksanakan seiring pertumbuhan ekonomi negara.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.