SHAH ALAM, 26 NOV: Seramai 131 individu ditahan kerana disyaki membenarkan pendatang asing tanpa izin (PATI) tinggal di premis bawah kawalan mereka dalam tempoh Januari hingga 17 September tahun ini, meningkat berbanding 96 individu sepanjang tahun lalu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) turut merekodkan 229 pendakwaan mengikut Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63 dalam tempoh sama.
Menurutnya, sebanyak 6,581 PATI ditangkap di premis kediaman hasil tindakan penguatkuasaan, manakala 109 aduan berkaitan kediaman diterima.
“Berdasarkan rekod Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), pada tahun 2025, sebanyak 691 aduan berkaitan kediaman telah diterima.
“Hasil tindakan penguatkuasaan yang dilaksanakan, seramai 8,453 PATI telah ditangkap di premis kediaman. Dalam tempoh yang sama, seramai 96 individu telah ditangkap di bawah Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63, manakala sebanyak 391 pendakwaan telah direkodkan di bawah seksyen yang sama,” katanya dalam jawapan bertulis kementerian itu di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan Dr Siti Mastura Muhammad (Kepala Batas) mengenai jumlah aduan, pendakwaan dan tindakan terhadap pihak yang menyewakan kediaman kepada etnik Rohingya serta PATI lain.
Saifuddin menjelaskan Seksyen 55E melarang mana-mana individu yang mempunyai kepentingan, pengurusan atau kawalan terhadap premis daripada membenarkan PATI memasuki atau tinggal di premis berkenaan.
Katanya, individu yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda antara RM5,000 hingga RM30,000 atau penjara tidak melebihi 12 bulan atau kedua-duanya bagi setiap PATI yang ditemui.
Bagi kesalahan kedua dan seterusnya, pesalah berdepan denda antara RM10,000 hingga RM60,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya bagi setiap PATI.
Menurutnya, kerajaan memandang serius perbuatan membenarkan PATI tinggal di premis termasuk rumah sewa.
Sehubungan itu, JIM akan terus mempergiatkan risikan, pemeriksaan premis dan operasi penguatkuasaan bersasar terhadap pihak yang membenarkan PATI tinggal di premis bawah pengurusan atau kawalan mereka.







