Pembangunan REE, penipuan dalam talian antara dibincang Dewan Rakyat hari ini

25 Nov 2026, 12:23 AM
Pembangunan REE, penipuan dalam talian antara dibincang Dewan Rakyat hari ini
Pembangunan REE, penipuan dalam talian antara dibincang Dewan Rakyat hari ini

KUALA LUMPUR, 25 NOV: Pembangunan sumber unsur nadir bumi (REE) dan perkembangan terkini usaha membanteras penipuan dalam talian antara isu yang akan dibincang pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, Salamiah Mohd Nor (PN-Temerloh) meminta Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam menyatakan pelan kerajaan dalam membangunkan sumber REE secara terkawal serta mampan pada sesi soal jawab.

Beliau juga ingin mengetahui maklumat mengenai negeri yang mempunyai sumber REE terbesar, anggaran rizab, nilai ekonomi, kaedah perlombongan dan mekanisme pemantauan alam sekitar.

Pada sesi sama, V Ganabatirau (PH-Klang) bertanya kepada Menteri Dalam Negeri mengenai perkembangan terkini usaha kerajaan membanteras penipuan dalam talian dan akaun keldai termasuk jumlah kerugian dialami rakyat Malaysia sejak 2023.

Selain itu, beliau meminta perincian mengenai jumlah wang berjaya dibekukan atau dipulangkan, kadar pendakwaan dan langkah mempercepat pembekuan transaksi mencurigakan sebelum wang dipindahkan ke luar negara.

Datuk Shamshulkahar Mohd Deli (BN-Jempol) pula mahu Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menyatakan mekanisme kerjasama dengan Kementerian Sumber Manusia bagi mewujudkan peluang pekerjaan berpendapatan kompetitif di luar bandar termasuk padanan pekerjaan dengan keperluan industri setempat bagi mengurangkan penghijrahan anak muda.

Sementara itu, Mohd Misbahul Munir Masduki (PN-Parit Buntar) mengutarakan soalan kepada Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi mengenai impak program Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN), Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Rural Business Challenge (RBC) terhadap peningkatan pendapatan usahawan luar bandar dalam tempoh tiga tahun terkini.

Beliau juga meminta penjelasan mengenai inisiatif terbaharu kementerian dalam usaha membantu produk desa menembusi pasaran e-dagang.

Selesai sesi soal jawab, Dewan Rakyat dijadual meneruskan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2027 di peringkat jawatankuasa.

Menurut takwim Dewan Rakyat, sesi perbahasan itu dijadual berlangsung hingga esok.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.