SHAH ALAM, 8 NOV: Pendatang asing tanpa izin (PATI) didakwa membayar antara RM5,000 hingga RM15,000 kepada ejen atau sindiket bagi memasuki Malaysia melalui pangkalan haram atau laluan laut.
Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) Datuk Ahmad Radzi Hussain berkata kadar bayaran itu berbeza mengikut kewarganegaraan, laluan kemasukan serta destinasi pekerjaan yang ditawarkan sindiket.
“Berdasarkan kes yang dilaporkan pada tahun ini, terdapat PATI yang membayar sekitar RM5,000 hingga RM15,000 kepada ejen bagi menguruskan perjalanan mereka untuk masuk ke Malaysia.
“Jumlah itu bagaimanapun bukan kadar tetap kerana bayaran sebenar bergantung kepada laluan, destinasi dan perkhidmatan yang disediakan oleh sindiket,” katanya ketika dihubungi, lapor Harian Metro.
Ahmad Radzi berkata sekurang-kurangnya tujuh pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok dikenal pasti menjadi laluan kemasukan PATI.
Antara lokasi terbabit ialah Pangkalan Haram Azizah, Parking, Pak Antah, MCA, Kuala Senggeng, Kedap dan Perdah yang digunakan sindiket bagi menjalankan kegiatan berkenaan.
“Jumlah itu menunjukkan sindiket PATI tidak bergantung kepada satu laluan sahaja, sebaliknya menggunakan beberapa pangkalan haram secara serentak untuk mengaburi pihak berkuasa.
“Apabila satu pangkalan diperketatkan kawalan, dipantau atau diserbu, sindiket segera beralih ke laluan alternatif lain seperti lorong tikus, kawasan kebun, laluan kampung dan pesisir sungai,” katanya.
Beliau berkata bentuk muka bumi sempadan yang luas dan kompleks, termasuk Sungai Golok yang panjang serta terbuka, menjadi cabaran utama pihak berkuasa dalam membanteras penyeludupan PATI.
Malah, ratusan pangkalan haram dan laluan alternatif di sepanjang sempadan Kelantan perlu dipantau, termasuk kawasan hutan serta sungai kecil.
“Cabaran lain adalah modus operandi sindiket yang sentiasa berubah. Apabila satu laluan diperketatkan, mereka akan mencari laluan baharu, termasuk laluan laut dan sungai kecil,” katanya.







