Projek rintis sistem saliran mesra alam berkesan atasi banjir

26 Nov 2026, 2:00 AM
Projek rintis sistem saliran mesra alam berkesan atasi banjir
Projek rintis sistem saliran mesra alam berkesan atasi banjir
Projek rintis sistem saliran mesra alam berkesan atasi banjir

NIBONG TEBAL, 26 NOV: Sistem Saliran Bio-Ekologi (BIOECODS) menawarkan pendekatan mesra alam bagi mengurus air hujan yang berupaya mengurangkan risiko banjir kilat dan pencemaran sungai.

BIOECODS mengawal air dengan menahan, menapis dan menyerap hujan sebelum melepaskannya secara berperingkat ke sungai, kata pengarah Pusat Penyelidikan Kejuruteraan Sungai dan Saliran Bandar (REDAC) Universiti Sains Malaysia (USM).

Menurut Ir Dr Chang Chun Kiat, ia berbeza dengan kaedah konvensional yang menyalur air hujan melalui longkang konkrit ke sungai tetapi berisiko berlaku limpahan yang mengakibatkan banjir kilat.

Sebaliknya, BIOECODS menggabungkan elemen mesra alam antaranya saluran berumput, kolam kering, kolam basah, tanah bencah, sungai berliku dan kolam rekreasi selain tangki modular bawah tanah yang diperbuat daripada polipropilena, sejenis plastik kitar semula.

Pengarah, Pusat Penyelidikan Kejuruteraan Sungai dan Saliran Bandar (REDAC), Universiti Sains Malaysia (USM), Ir. Dr. Chang Chun Kiat memberi penerangan kepada Media Selangor di Universiti Sains Malaysia (USM), Nibong Tebal, Penang pada 19 November 2026. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

Air hujan akan mengalir melalui saluran berumput sepanjang kira-kira satu kilometer untuk memperlahan aliran sebelum meresap ke lapisan pasir sungai, geotekstil dan tangki modular bawah tanah.

“Saluran berumput mengurangkan kelajuan air di permukaan berbanding longkang konkrit dengan larian air yang laju. (Ini) sekali gus mengurangkan risiko limpahan ketika hujan lebat.

“Ketika hujan tidak lebat, kebanyakan air meresap ke sistem bawah permukaan manakala lebihan air ketika hujan lebat mengalir melalui saluran berumput. Kalau hujan lebat, baru kita nampak aliran air di permukaan saluran berumput,” kata Dr Chun Kiat.

Proses resapan berkenaan turut meningkatkan simpanan air bawah tanah (groundwater recharge) sekali gus menyokong ketersediaan sumber air pada musim kering.

“Air yang melalui tangki modular akan mengalir ke kolam kering dan kolam basah untuk ditakung serta (alirannya) diperlahan sebelum melalui tanah bencah dan sungai berliku untuk proses penapisan semula jadi.

Kolam dan longkang yang mengikut Sistem Saliran Bio-Ekologi (BIOECODS) di Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin Universiti Sains Malaysia (USM) Nibong Tebal, Pulau Pinang. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

“Air kemudian menuju ke kolam rekreasi sebelum dilepaskan ke Sungai Kerian melalui paip berdiameter 600 milimeter yang dilengkapi pintu kawalan pasang surut automatik.

“(Ini) bagi menghalang aliran air dari hilir termasuk air masin memasuki kawasan kampus ketika paras sungai naik atau air pasang,” katanya yang merujuk kejayaan projek perintis.

Projek itu diperkenal pada 2000 di Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin di Universiti Sains Malaysia (USM) membabitkan kawasan seluas kira-kira 320 ekar.

Ia dijalankan dengan kerjasama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) itu menelan kos keseluruhan sekitar RM6.2 juta termasuk RM1.2 juta daripada JPS.

Menurut Dr Chun Kiat, keupayaan sistem takungan itu teruji ketika banjir besar melanda Pulau Pinang pada 2003. Kolam kampus tersebut berupaya menampung air larian tanpa melimpah.

BIOECODS juga antara projek rintis Manual Saliran Mesra Alam (MSMA) yang diperkenal JPS pada 2000, khususnya dalam mengawal kuantiti dan kualiti air larian hujan di lokasi punca.

“MSMA diperkenal sebenarnya ada tiga yang utama iaitu mengurangkan banjir, pencemaran dan ekologi dan penyelenggaraan, estetik dan sebagainya,” katanya.

REDAC menjalankan sekitar 20 projek berkaitan BIOECODS atau komponennya di beberapa lokasi termasuk bangunan kerajaan. Di Selangor, pembangunan Kwasa Damansara di Sungai Buloh dan padang astaka Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

Keratan Rentas Bawah Permukaan Saluran Berumput. GRAFIK HAZREENA EFFENDI

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.