SHAH ALAM, 26 NOV: Kerja pembersihan dan penyelenggaraan longkang dipergiat di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Sentosa bagi mengurangkan risiko banjir kilat, terutama ketika hujan lebat.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Sentosa, Dr G Gunaraj berkata antara lokasi terlibat ialah Jalan Badrishah, Taman Ria dan Taman Mujur yang menjalani kerja mengorek serta membersihkan longkang.
Menurutnya, langkah itu bagi memastikan sistem perparitan berfungsi dengan baik dan aliran air hujan dapat disalurkan ke sungai dengan lancar.
“Usaha berterusan ini bagi memastikan sistem perparitan di DUN Sentosa berada dalam keadaan baik dan berfungsi dengan lancar,” katanya menerusi Facebook.
Gunaraj berkata kerja berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) dan KDEB Waste Management (KDEB).
Katanya, penyelenggaraan berkala penting bagi mengelakkan longkang tersumbat dan air bertakung yang boleh menyebabkan banjir kilat.
“Langkah ini amat penting sebagai usaha mengurangkan risiko longkang tersumbat, air bertakung serta kejadian banjir kilat, khususnya ketika hujan lebat,” katanya.
Beliau turut menghargai kerjasama semua pihak dalam memastikan kawasan perumahan di DUN Sentosa sentiasa bersih dan selamat.









