Kerja baik pulih tiga sekolah terjejas ribut siap 24 hari lebih awal

12 Jan 2026, 12:34 PM
Kerja baik pulih tiga sekolah terjejas ribut siap 24 hari lebih awal
Kerja baik pulih tiga sekolah terjejas ribut siap 24 hari lebih awal
Kerja baik pulih tiga sekolah terjejas ribut siap 24 hari lebih awal

KUALA LANGAT, 12 JAN: Tiga sekolah di Sijangkang Jaya yang terjejas akibat bencana ribut pada Oktober lalu telah siap dibaik pulih, dengan peruntukan sebanyak RM12.9 juta disalurkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari, berkata kerja pembaikan Sekolah Kebangsaan Sijangkang Jaya, Sekolah Kebangsaan Kampung Medan dan Sekolah Menengah Kebangsaan Sijangkang Jaya disiapkan dan diserah oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor kepada KPM 24 hari lebih awal daripada tarikh siap asal.

“Kerosakan paling kritikal membabitkan bumbung sekolah yang rosak teruk akibat ribut, selain kerja-kerja susulan seperti pendawaian elektrik, pembaikan siling dan struktur dewan.

“Kesemua kerja utama telah disiapkan lebih awal daripada jadual dan ini membolehkan sesi persekolahan bermula pada hari ini tanpa gangguan,” katanya kepada Media Selangor selepas menyempurnakan majlis penyerahan di Sekolah Kebangsaan Sijangkang Jaya di sini, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Amirudin memaklumkan sebuah lagi sekolah yang terjejas iaitu Sekolah Kebangsaan Jalan Tanjung dijangka akan siap dibaik pulih sepenuhnya dan diserahkan pada 26 Januari depan, juga 11 hari lebih awal dari tarikh siap asal.

Katanya lagi, KPM telah meluluskan peruntukan sejumlah RM900,000 bagi membina dewan baharu yang telah rosak di Sekolah Kebangsaan Kampung Medan susulan kejadian ribut lalu.

“KPM juga telah menyalurkan meja, kerusi, perabot dan peralatan sekolah bagi menggantikan kelengkapan yang rosak akibat ribut,” tambahnya.

Ribut yang berlaku pada pertengahan Oktober tahun lalu menyebabkan beberapa sekolah di kawasan Kuala Langat mengalami kerosakan teruk sehingga menjejaskan keselamatan pelajar dan memaksa premis ditutup sementara.