Syabu bernilai RM5.19 juta dirampas di perairan Kedah, empat individu ditahan

25 Nov 2026, 3:37 AM
Syabu bernilai RM5.19 juta dirampas di perairan Kedah, empat individu ditahan

SHAH ALAM, 25 NOV: Pasukan Polis Marin (PPM) menggagalkan cubaan menyeludup 103.798 kilogram (kg) syabu bernilai RM5.19 juta ke negara jiran dalam operasi di perairan Kedah pada 14 November lalu.

Empat lelaki termasuk seorang warga tempatan dipercayai dalang sindiket ditahan, manakala sebuah bot gentian kaca dan Toyota Hilux turut dirampas, menjadikan keseluruhan nilai rampasan RM5.36 juta.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata Op Taring Gelora dilaksanakan susulan risikan kegiatan penyeludupan dadah menggunakan bot gentian kaca.

Katanya, sepasukan pegawai dan anggota PPM Wilayah Satu mengesan sebuah bot mencurigakan kira-kira tujuh batu nautika dari Pulau Sayak, Tanjung Dawai.

“Apabila diarah berhenti untuk pemeriksaan, pemandu bot berkenaan memecut dan melakukan beberapa pergerakan berbahaya bagi mengelak ditahan.

“Bagaimanapun, kita dapat memintas bot itu pada jam 10.30 malam selepas mengejarnya selama 90 minit dan menahan dua lelaki warga Indonesia di dalamnya,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PPM Wilayah Satu hari ini, lapor Berita Harian.

Pemeriksaan menemukan lima guni putih mengandungi 100 bungkusan plastik berisi syabu, manakala risikan susulan membawa kepada penahanan dua lagi lelaki di Kampung Sungai Layar Hujung, Sungai Petani.

Mohd Yusri berkata suspek tempatan berusia 36 tahun yang mengusahakan kedai runcit dipercayai dalang sindiket dan menawarkan bayaran RM12,000 bagi setiap perjalanan kepada pengangkut.

Katanya, dadah dipercayai diperoleh dari dalam negara sebelum dihantar untuk diedar di negara jiran, manakala jumlah rampasan dianggar mampu membekalkan dadah kepada 518,990 penagih.

Keempat-empat suspek berusia antara 31 hingga 36 tahun disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan minimum 12 kali sekiranya tidak dijatuhi hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.