SHAH ALAM, 14 APRIL: Pasukan Polis Marin (PPM) menahan tujuh lelaki termasuk dua warga Indonesia dipercayai terlibat dalam sindiket kegiatan pemindahan minyak hitam secara haram di sekitar Kuala Langat semalam.
Komander PPM Wilayah Satu ACP Jafri Bidin dalam kenyataan berkata kesemua lelaki berusia lingkungan 17 hingga 59 tahun itu ditahan menerusi dua serbuan yang dilaksanakan di kawasan perindustrian Segenting, Telok Panglima Garang dan pinggir Sungai Langat bermula 10 pagi.
Beliau berkata PPM menahan lima lelaki tempatan dalam serbuan pertama di kawasan lot tidak beralamat yang ketika itu sedang memindahkan minyak hitam dari lori tangki ke beberapa tangki simpanan skid dan tangki bekas pukal perantaraan (IBC).
“Pemeriksaan lanjut di lot itu menemukan kira-kira 182,000 liter minyak hitam bernilai RM273,000 serta pelbagai peralatan.
“Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM11.4 juta termasuk sembilan tangki skid (RM900,000), lima tangki IBC (RM5,000), dua lori tangki (RM300,000) dan sebuah kapal besi (RM10 juta),” katanya menerusi kenyataan.
Jafri berkata pihaknya kemudian menyerbu lokasi kedua di pinggir Sungai Langat dan menahan dua lelaki warga Indonesia termasuk kapten kapal di atas sebuah kapal kargo.
Beliau berkata kesemua tujuh suspek ditahan dan kes disiasat di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005 dan Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian Majlis Daerah Kuala Langat 2007.
“Rampasan dan tangkapan diserahkan kepada Jabatan Alam Sekitar Selangor dan MPKL untuk tindakan lanjut,” katanya.






