Pencerobohan bot: 103 operasi, pemeriksaan dilaksana di Selangor

21 Okt 2026, 12:52 AM
Pencerobohan bot: 103 operasi, pemeriksaan dilaksana di Selangor
Pencerobohan bot: 103 operasi, pemeriksaan dilaksana di Selangor

SHAH ALAM, 21 OKT: Sebanyak 103 siri operasi dan pemeriksaan dilaksanakan di seluruh Selangor dari 2025 hingga kini bagi menangani isu pencerobohan zon penangkapan ikan yang boleh menjejaskan keselamatan serta sumber pendapatan nelayan pesisir pantai.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata sebanyak 11 operasi bersepadu antara agensi turut dilaksanakan dengan kerjasama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Pasukan Polis Marin (PPM) dalam tempoh sama.

Menurutnya, Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) menerima 12 aduan pencerobohan bot pukat tunda dan empat aduan pencerobohan bot pukat jerut di perairan Selangor.

“Kerajaan mengambil serius isu pencerobohan zon penangkapan ikan yang ditetapkan oleh Jabatan Perikanan Malaysia (DOF), khususnya yang boleh menjejaskan keselamatan, kawasan operasi dan sumber pendapatan nelayan persisiran pantai,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat semalam bagi menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Kapar, Dr Halimah Ali berhubung langkah menangani pencemaran industri dan pencerobohan bot besar yang menjejaskan nelayan pesisir pantai Kapar.

Mohamad berkata tindakan undang-undang turut diambil terhadap kesalahan pencerobohan zon penangkapan ikan dan pelanggaran syarat lesen, dengan kompaun berjumlah RM310,350 dikeluarkan di Selangor bagi tempoh 2021 hingga 2025.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu. Foto BERNAMA

Selain penguatkuasaan, katanya, kementerian menggunakan Sistem Pemantauan Vesel (VMS) bagi memantau pergerakan vesel serta menyokong aktiviti pemantauan, kawalan dan pengawasan.

Menurut beliau, sebanyak 18 unit tukun tiruan tambahan turut dilabuhkan di perairan Selangor tahun ini dengan peruntukan RM500,000.

“Melabuhkan tukun tiruan yang turut berfungsi sebagai penghalang kepada aktiviti pukat tunda di kawasan tertentu serta menyediakan habitat bagi pemulihan sumber perikanan.

"Bagi tempoh 2021 hingga 2025, sebanyak 1,174 unit tukun tiruan dilabuhkan di seluruh Malaysia membabitkan peruntukan RM20 juta," katanya.

Tambah beliau, kerajaan turut menyediakan RM7.8 juta tahun ini bagi pelaksanaan Pemantauan, Kawalan dan Pengawasan (MCS) untuk membantu melindungi sumber perikanan negara daripada pencerobohan dan aktiviti penangkapan ikan secara haram, tidak dilaporkan dan tidak dikawal selia (IUU Fishing), selain menyokong pengurusan sumber perikanan secara mampan.

Mengenai infrastruktur nelayan di Kapar, Mohamad berkata Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) menerima peruntukan RM200,000 menerusi Program Pemerkasaan Agromakanan Negara (PPAN) 2026 bagi membaik pulih jeti laluan kayu dan melaksanakan kerja berkaitan di Jeti Nelayan Tok Muda.

Bagaimanapun, katanya, kerja berkenaan tidak dapat diteruskan berikutan beberapa kekangan teknikal dan keselamatan di tapak.

"Kementerian melalui LKIM akan terus meneliti keperluan penambahbaikan kemudahan jeti dan pendaratan ikan di kawasan Parlimen Kapar, tertakluk kepada keutamaan pembangunan serta ketersediaan peruntukan Kerajaan," katanya.

Sementara itu, bagi isu pencemaran industri, Mohamad menjelaskan kawalan dan pemantauan punca pencemaran, khususnya pelepasan sisa buangan serta efluen industri, terletak di bawah bidang kuasa Jabatan Alam Sekitar (JAS) berdasarkan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Katanya, DOF juga bersedia bekerjasama dengan JAS dan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dalam siasatan kes pencemaran atau kejadian kematian ikan, termasuk memberikan khidmat nasihat serta input teknikal berkaitan kesan terhadap sumber perikanan dan ekosistem akuatik.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.