SHAH ALAM, 15 JAN: Pasukan Polis Marin (PPM) Pelabuhan Klang berjaya menyekat pengedaran produk kosmetik tanpa kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bernilai RM910,750 dalam operasi Selasa lalu.
Pemangku Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Satu Pulau Pinang, Superintendan Fakharuddin Amri Sanusi berkata pihaknya mengesyaki produk berkenaan milik sebuah premis di Petaling Jaya dan dipercayai dibawa masuk dari negara jiran.
Menurut beliau, operasi sekatan turut melibatkan pemeriksaan ke atas makanan, minuman serta ubat-ubatan.
“Ketika pemeriksaan dijalankan, seorang wanita mengaku sebagai pemilik premis. Pasukan meminta pemilik mengemukakan semua dokumen kelulusan daripada KKM namun gagal berbuat demikian,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata semua produk yang disyaki tidak sah itu dirampas dan diserahkan kepada pegawai farmasi serta Bahagian Kualiti Makanan KKM untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Akta Racun 1952 [Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik] serta Akta Makanan 1983,” katanya.


